Berita

Pesakit herpes simplex meningkat, tahap pengetahuan berkaitan STI rendah

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 29 November 2024 10:00 AM MYT

BILANGAN kedatangan pesakit herpes simplex di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) didapati meningkat setiap tahun sejak 2021.

Penyakit herpes simplex adalah sejenis penyakit jangkitan kelamin (STI) yang disebabkan oleh herpes simplex virus (HSV).

Menurut KKM, berdasarkan data daripada Pusat Informatik Kebangsaan, bilangan kedatangan pesakit itu di hospital KKM pada 2021 adalah 116 kes diikuti 174 kes pada 2022.

“Ia meningkat kepada 211 kes pada tahun lalu.

“Kebanyakan pesakit yang dijangkiti herpes tidak bergejala atau hanya mempunyai gejala ringan sahaja.

“Ramai orang tidak menyedari mereka dijangkiti dan boleh menyebarkan virus kepada orang lain tanpa pengetahuan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KKM menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai kesedaran masyarakat berkenaan penyakit herpes yang mudah menjangkiti orang lain.

Terdapat dua jenis HSV yang utama iaitu herpes virus simplex type 1 (HSV-1) dan herpes virus simplex type 2 (HSV-2).

Kementerian itu menambah, meskipun dikategorikan sebagai jangkitan yang tidak berbahaya, penghidap HSV-1 dan HSV-2 perlu sentiasa berhati-hati kerana ia mudah menjangkiti orang lain serta terdapatnya risiko pengaktifan semula.

Jelasnya, jangkitan herpes ini tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan atau notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Walau bagaimanapun, KKM sentiasa memantau kejadian wabak yang berlaku,” katanya.

KKM menambah, beberapa kajian yang dilakukan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi mendapati tahap pengetahuan berkaitan STI dan herpes genital secara amnya masih berada pada tahap rendah.

Untuk itu katanya, antara langkah kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan oleh KKM adalah dengan memberi taklimat berkaitan penyakit STI dan herpes, menyediakan pendidikan kesihatan dan infografik tentang penyakit STI melalui media sosial bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Maklumat yang disalurkan juga diharap dapat memperbetulkan salah faham yang wujud dan menggalakkan individu untuk mendapatkan rawatan tanpa rasa malu atau takut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas