Berita

Perutusan Negara: Penyasaran subsidi kerajaan jimat RM4 bilion setahun

- Diterbit 22 Mei 2024 12:12 AM MYT

MESYUARAT Jemaah Menteri telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu diambil bagi mengekang ketirisan subsidi diesel yang selama ini amat merugikan.

“Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, Kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Ini termasuk pengusaha bas dan teksi. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu,” katanya menerusi Perutusan Negara malam ini.

Perdana Menteri berkata kebajikan rakyat akan terus terpelihara bagi menangani kos sara hidup dan Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

“Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20.

“Dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada Kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas