SELARAS dengan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, kerajaan meningkatkan peruntukan TVET kepada 7.5 bilion ketimbang RM6.8 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keutamaan akan diberikan kepada beberapa perkara.
“Antaranya meningkatkan kerjasama dengan industri; menyediakan peluang latihan untuk belia rentan termasuk dari kelompok miskin bandar, terpinggir, pedalaman dan Orang Asli serta membawa khidmat TVET bagi manfaat masyarakat,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata peluang pendidikan dan latihan TVET juga akan dipertingkatkan dengan kolej vokasional dan sekolah menengah teknik terus menyediakan pendidikan kepada 77 ribu orang pelajar dengan peruntukan RM1.2 bilion.
“Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan pembiayaan sehingga RM500 juta untuk manfaat lebih 20 ribu pelatih termasuk RM100 juta khusus untuk bidang keutamaan NIMP seperti MRO, EV, aeroangkasa dan AI.
“Selain itu, HRDCorp akan memanfaat dana RM3 bilion untuk menawarkan tiga juta peluang latihan. HRDCorp juga menguntukkan semula dana khas 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan MADANI khusus untuk golongan rentan dan majikan turut dibenarkan menggunakan levi untuk membiayai elaun sehingga RM1,000 selama setahun bagi graduan melalui HRD Corp termasuk menjalani latihan kemahiran,” katanya.
Jelasnya lagi, Khazanah juga menyediakan RM200 juta melalui Program Pembangunan Belia Khazanah (K-Youth) bagi membekalkan 11 ribu bakat tempatan kepada sektor utama seperti semikonduktor.
“Seterusnya, GiatMARA dan kolej komuniti disediakan RM55 juta bagi lima tahun untuk mengupaya 10 ribu anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran. GiatMARA juga akan menyediakan latihan jangka pendek kepada lebih 3,000 pekerja gig.
“PERKESO akan membina sebuah Pusat Rehabilitasi yang serba canggih di Terengganu dengan kos hampir RM600 juta. Pusat ini akan menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh meliputi rawatan pemulihan sehingga program kembali bekerja, sekali gus mengukuhkan usaha mewujudkan sumber manusia yang lebih berdaya tahan dan inklusif,” ujarnya.
Anwar berkata kerajaan juga mencadangkan potongan dua kali ke atas perbelanjaan syarikat yang melaksanakan Program Latihan Berstruktur (MySIP) di bawah Talent Corp turut diperluas kepada pelajar yang mengikuti latihan berstruktur yang dijalankan oleh badan kawal selia industri dan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030. – WILAYAHKU