Berita

Peruntukan tambahan, perkasa Program iTekad

ANWAR (dua dari kanan) turut meluangkan masa melawat reruai usahawan.
- Diterbit 25 Ogos 2023 3:32 AM MYT

KERAJAAN ­mengumumkan ­peruntukan geran ­tambahan ­sebanyak RM6 juta bagi memperkasa ­pelaksanaan program kewangan sosial iTekad yang diselia Bank Negara untuk membantu Perusahaan ­Kecil dan Mikro Sederhana (PKMS) khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah (B40).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ­berkata ­penambahan geran itu ­adalah daripada RM4 juta yang ­diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 sekali gus menjadikan ­jumlah bantuan keseluruhan iTekad pada tahun ini sebanyak RM10 juta.

“Kalau dah berjaya ­dengan RM4 juta dana awalan dari Kementerian Kewangan, saya pasti dengan ­keputusan kejayaan dengan ­andaian 20 bank, andaian ada ­lagi dana tambahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), maka saya boleh tambah ­daripada empat jadi 10 juta untuk tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang pada Selasa.

Jelas Anwar, dengan ­penambahan geran tersebut, ­beliau berharap golongan sasar dapat memanfaatkan inisiatif iTekad ­sebagai titik permulaan ­kehidupan baharu.

“Saya berharap warga Malaysia yang selama ini ­mempunyai ­niat untuk memulakan perusahaan sendiri, namun tidak ­mempunyai akses kepada kemudahan ­pembiayaan perbankan, dapat memanfaatkan inisiatif iTekad.

“Nilai kesaksamaan ­merupakan acuan utama dalam pengadunan Ekonomi Madani, kemiskinan tidak patut menjadi penghalang ­kepada impian untuk ­memanjat tangga sosial dan tidak boleh menjadi ­beban yang ­diwarisi turun-temurun,” ujar beliau yang menyeru kerjasama pelbagai pihak dalam membantu ­merealisasikan kejayaan usahawan mikro ­menerusi iTekad.

Dalam pada itu, Anwar ­berkata iTekad boleh dikembangkan lagi selepas mencatat kos pengurusan lebih rendah serta tekanan kewangan yang kurang selain turut menggesa ­sembilan lagi ­institusi kewangan untuk ­terlibat bagi ­menjayakan program tersebut.

Terdahulu, iTekad ­merupakan program penaung yang ­diwujudkan oleh BNM ­bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah ­memperkukuh ­pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana ­pendapatan yang berterusan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas