Berita

Peruntukan RM28,500 disalur kepada PIBG SK Hutan Melintang

- Diterbit 7 November 2024 10:13 PM MYT

SEBANYAK RM28,500 peruntukan disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang Bagan Datuk, Perak untuk pembangunan infra.

Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin
peruntukan tersebut bagi kerja-kerja membaik pulih beberapa fasiliti institusi pendidikan.

“Sesungguhnya, penambahbaikan dalam bidang pendidikan merupakan sektor yang menjadi tumpuan dalam usaha berterusan kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan MADANI Murid-Murid Pendidikan Khas dan B40 serta Penyerahan Bendera Kontijen PSKPP Daerah Bagan Datuk di Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang Bagan Datuk, Perak.

Beliau mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada 75 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar pendidikan khas dan juga B40.

Tambahnya penganjuran program seperti ini amatlah dialu-alukan kerana dapat menyantuni segenap lapisan masyarakat dan mengambil tahu perihal mereka.

Beliau berkata segala manfaat yang disediakan oleh pihak kerajaan perlu dirasai oleh semua pihak tanpa ada sebarang keciciran terutamanya anak-anak luar bandar.

“Saya dimaklumkan majlis ini bukan sahaja untuk membantu murid dengan menyediakan bantuan dari pelbagai bentuk sama ada kewangan, peralatan persekolahan tetapi juga pembangunan fizikal sekolah dengan harapkan memberikan sedikit kekondusifan fizikal sekolah ini.

“Ia sekali gus memberikan semangat, motivasi dan aspirasi untuk meneruskan kecemerlangan juga gigih membentuk kemenjadian murid dalam segenap aspek di dalam zaman yang serba mencabar ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Mohamad Mahathir Mohamed Younus hadir dalam Majlis Perasmian Kursus Penternakan Ayam Kampung Dan Bancuhan Dedak-Membina Usahawan Desa Bagan Datuk Anjuran PPPKM Bagan Datuk. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas