LANGKAH kerajaan tidak menyatakan amaun peruntukan dalam draf memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang adalah disebabkan terma dalam perjanjian itu masih belum dipersetujui oleh blok berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sekiranya pembangkang tidak bersetuju dengan mana-mana terma dalam MoU itu, mereka seharusnya menyatakannya melalui saluran betul iaitu perundingan, bukannya melalui media.
Beliau berkata sehingga kini kerajaan juga masih belum menerima maklum balas daripada pembangkang berkaitan draf MoU itu.
“Jadi janganlah kita bercakap tentang nak menjatuhkan kerajaan apa semua, berhentikan… sebab kerajaan sekarang ini dah dapat sokongan dah ada dua pertiga sokongan dan dibuktikan di Parlimen,” katanya.
Pada 9 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan. – BERNAMA