MAJLIS Belia Labuan (MBL) menyambut baik Belanjawan 2025 dalam memperkasakan golongan belia menerusi pelbagai peruntukan khususnya bagi mendepani kos sara hidup dan memperkasakan kreativiti serta potensi golongan tersebut.
Presidennya, Nazera Roslan berkata usaha kerajaan untuk mengembalikan Program Khidmat Negara 3.0 merupakan salah satu inisiatif yang dinanti-nantikan oleh golongan belia khususnya di pulau ini.
Katanya, Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM50 juta kepada Kementerian Pertahanan bagi melaksanakan program tersebut secara rintis dengan konsep yang baharu membabitkan belia lepasan sekolah menengah.
“Jika ianya diperkenalkan semula kepada golongan belia untuk memupuk semangat jati diri mampu memberikan sesuatu pembelajaran yang baharu,” katanya ketika sesi bual bicara di LABUANfm.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana memperuntukkan RM25 juta bagi Program Rakan Muda sebagai satu wadah dalam membina potensi dan indentiti belia berjati diri.
“Peruntukan tersebut satu perkara yang menggembirakan kami (MBL) dan pada 2025 kita akan memperkasakan serta memperbanyakkan lagi program-program belia bagi memberikan pendedahan juga melatih belia-belia baharu,” katanya. – WILAYAHKU