Fokus

Perubahan struktur keluarga buat penjaga terhimpit

- Diterbit 22 Februari 2025 12:30 PM MYT

GENERASI sandwic merujuk kepada penjaga keluarga yang menjalankan peranan menjaga dua generasi secara serentak dan di Malaysia ia sering dikaitkan dengan wanita bekerja, memandangkan dalam struktur sosial masyarakat, wanita masih dianggap sebagai penjaga utama keluarga. 

Walaupun terlibat dalam sektor pekerjaan yang kompetitif, mereka tetap memikul tanggungjawab besar dalam menguruskan keluarga, termasuk penjagaan ibu bapa yang semakin uzur. Bagaimanapun dengan perubahan dinamik sosial dan ekonomi moden, semakin ramai lelaki turut memainkan peranan dalam menguruskan tanggungjawab keluarga. 

Generasi ini wujud akibat gabungan faktor ekonomi, demografi dan perubahan struktur keluarga meskipun kewangan sememangnya menjadi faktor utama, tetapi ia bukan satu-satunya punca.

WAN EDURA

Menurut Pengarah Institut Kecemerlangan Perniagaan (IBE) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Wan Edura Wan Rashid, antara faktor utamanya adalah peningkatan jangka hayat dan kos penjagaan kesihatan, kenaikan kos sara hidup dan beban kewangan serta perubahan struktur keluarga.

“Dengan kemajuan perubatan, jangka hayat rakyat Malaysia menjadi semakin panjang dan ini bermakna ibu bapa memerlukan sokongan kewangan dan penjagaan untuk tempoh yang lebih lama, terutamanya dalam aspek kesihatan dan kebajikan. Kos perubatan yang tinggi serta keperluan penjagaan jangka panjang menjadi cabaran utama bagi generasi sandwic.

“Selain itu, kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuk harga rumah, kos pendidikan dan keperluan asas yang tinggi, turut memberi tekanan kepada generasi ini untuk terus menyokong anak-anak mereka.

“Dahulu, tanggungjawab menjaga ibu bapa boleh dikongsi dalam keluarga besar namun, masyarakat moden lebih cenderung kepada keluarga nuklear, menyebabkan beban penjagaan tertumpu kepada bilangan individu yang lebih kecil. Faktor-faktor ini menunjukkan bahawa isu generasi sandwic bukan sekadar cabaran peribadi, tetapi juga satu isu sosial yang memerlukan penyelesaian holistik,” katanya kepada Wilayahku. 

Mengulas lanjut, Wan Edura berkata, tekanan untuk menyara dua generasi serentak memberikan kesan yang mendalam terhadap kualiti hidup mereka. 

“Generasi ini perlu menguruskan perbelanjaan ibu bapa yang semakin uzur serta anak-anak yang masih memerlukan sokongan kewangan menyebabkan mereka sukar menabung untuk masa depan sendiri, termasuk persaraan dan berisiko menghadapi ketidakstabilan kewangan apabila mencecah usia tua.

“Ramai dalam kalangan generasi ini merasa terbeban kerana tidak mempunyai masa untuk diri sendiri dan jika ia tidak ditangani, boleh membawa kepada risiko penyakit seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung serta keletihan kronik diikuti hubungan kekeluargaan menjadi tegang kerana merasakan beban tidak dikongsi secara adil dalam kalangan adik-beradik.

“Jadi sangat penting kerjasama antara keluarga, majikan, masyarakat dan kerajaan adalah sangat penting bagi memastikan golongan ini tidak dibebani secara berlebihan,” ujarnya.

WUJUD POLISI KERJA FLEKSIBEL

GENERASI sandwic memainkan peranan penting dalam kesejahteraan keluarga dan kestabilan sosial namun, tanpa sistem sokongan yang kukuh, mereka berisiko mengalami tekanan kewangan, mental dan fizikal yang berpanjangan.

MOHD SUHAIMI

Pensyarah Kanan Program Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaya (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Suhaimi Mohamad berkata, terdapat beberapa langkah boleh diambil untuk membantu mereka mengatasi kesukaran ini. 

“Mereka perlu diberi pendidikan kewangan dengan menyediakan literasi kewangan untuk mereka memahami pengurusan kewangan, perancangan persaraan dan cara menguruskan belanjawan dengan efektif. 

“Sokongan emosi melalui kumpulan sokongan juga dapat membantu mereka mengatasi tekanan mental dan emosi yang sering dihadapi. Perkhidmatan penjagaan untuk orang tua atau kanak-kanak seperti pusat jagaan harian atau perkhidmatan penjagaan di rumah juga boleh meringankan beban penjaga dan memberi mereka masa untuk diri sendiri.

“Selain itu, pihak majikan boleh membuat pengaturan kerja yang fleksibel seperti kerja dari rumah atau waktu kerja yang boleh disesuaikan bagi membantu mereka menguruskan tanggungjawab keluarga dan kerja dengan lebih baik. 

“Akhir sekali, bantuan kewangan atau subsidi daripada pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu menampung kos penjagaan orang tua dan pendidikan anak-anak. Program kesihatan dan kesejahteraan bersepadu juga penting dalam memastikan generasi sandwic dapat mengamalkan gaya hidup sihat dari aspek aktiviti fizikal, pemakanan sihat dan pengurusan stres,” katanya. 

Jelasnya, untuk mendidik emosi anak-anak agar tidak merasa terbeban dengan tanggungjawab terhadap ibu bapa, adalah penting untuk memberikan ruang generasi sandwic mengekspresikan perasaan.

“Kemahiran komunikasi terbuka adalah penting dalam meletakkan harapan dan batasan serta mengajarkan teknik pengurusan emosi berkesan seperti mindfulness, yoga dan self-care yang dapat mengurangkan tekanan mental dan emosi. 

“Perkara ini perlu diatasi kerana generasi ini sudah lama wujud dan ada kemungkinan ia semakin ramai yang termasuk dalam golongan generasi sandwic ini akibat keterbatasan sumber ekonomi dan peningkatan taraf hidup,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas