KESINAMBUNGAN dan keberkesanan adalah penting dalam kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan keputusan Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden badan induk itu.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, meskipun perubahan adalah sesuatu yang biasa dalam dunia sukan, ia perlu dilakukan secara terancang supaya tidak menjejaskan perancangan sedia ada.
“Saya lihat perubahan dalam sukan memang satu perkara yang biasa, cuma perlu ada kesinambungan yang mana bermaksud pimpinan lama keluar, pimpinan baharu mesti ada kelestarian.
“Jadi, saya tak nak apa-apa perancangan terganggu,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Datuk Chu Ah Nge di Annex Sukan Bukit Kiara Kelab Diraja Selangor.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Hamidin dan penstrukturan baharu pasukan kebangsaan serta skuad muda negara yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Hannah juga berharap FAM terus komited dalam melakukan perubahan positif dan mengekalkan prestasi yang baik bagi mencapai sasaran peningkatan mutu bola sepak negara.
“Ini kerana sokongan kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk melihat Harimau Malaya mempunyai prestasi yang semakin meningkat.
“Jadi, perubahan itu okey cuma kena pastikan ia akan mendatangkan hasil yang bagus,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hannah berkata Hamidin belum bertemu dengannya seperti yang dirancang namun menghormati keputusan itu kerana percaya beliau mempunyai alasan tersendiri untuk tidak bertanding semula. – WILAYAHKU