Berita

Perubahan cuaca ekstrem, keselamatan terjamin

ORANG awam perlu diberi kesedaran terhadap implikasi perubahan cuaca ekstrem.
- Diterbit 27 September 2024 3:33 PM MYT

PERUBAHAN iklim  yang ekstrem telah memberikan impak-impak yang buruk terhadap negara Malaysia.

Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata kerajaan perlu fokus mengkaji kawasan-kawasan berisiko bagi mengelakkan kejadian bencana alam pada masa hadapan.

“Faktor-faktor seperti hujan lebat berterusan, banjir, cuaca panas melampau ini boleh menyumbang kepada kejadian seperti tanah runtuh selain tanah mendap atau jerlus yang berlaku baru-baru ini.

“Kerajaan perlu adakan pelan atau perancangan khas bagi menangani isu bencana ini terutamanya di kawasan geologinya tidak stabil sebagai contoh tanah batu kapur, dahulunya lombong dan sebagainya,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Nor Shahidah, dalam tempoh perubahan cuaca, akan berlaku banyak gangguan pada tanah.

“Orang awam perlu diberi kesedaran terhadap implikasi perubahan cuaca ekstrem ini.

“Apa yang penting bagaimana orang awam bertindak dan bersiap-siaga terhadap sebarang ancaman bencana,” ujarnya.

Jelas Nor Shahidah, kejadian cuaca hujan yang berpanjangan terutamanya di Kuala Lumpur memberi kesan terhadap persekitarannya.

“Umum sedia maklum cuaca hujan sebenarnya sinonim dengan pelbagai kejadian-kejadian bencana seperti banjir kilat, kejadian tanah runtuh, mendapan tanah dan sebagainya.

“Justeru itu, perlunya kesedaran serta advokasi bagi mengelakkan sebarang insiden-insiden yang tidak diingini berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau yakin DBKL akan terus melakukan langkah-langkah pengawasan dari semasa ke semasa dengan kepentingan menjaga keselamatan penduduk ibu kota.

“Selain itu, pada pandangan saya, DBKL terus giat memantapkan usaha pemulihan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut diharap terus membuat pemantauan yang sewajarnya, dan saya yakin bahawa keselamatan warga kota masih terjamin,” jelasnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas