KESESAKAN lalu lintas di Jalan Cheras iaitu dari pusat bandar ke Kajang pada waktu puncak terus berlaku disebabkan pertumbuhan pembangunan baru di sepanjang koridor tersebut yang melibatkan kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, walaupun beberapa tindakan telah dibuat untuk mengatasi kesesakan, pengguna juga dilihat memilih menggunakan kenderaan persendirian daripada bertukar mod pengangkutan awam.
“Jalan Cheras merupakan salah satu koridor utama jalan masuk ke Kuala Lumpur dari arah selatan (Kajang). Pemantauan trafik menunjukan jumlah kenderaan yang tinggi di waktu puncak pagi dan petang di laluan ini.
“Data trafik dari Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC), sebanyak purata 180,000 kenderaan sehari yang menggunakan laluan ini dengan purata kenderaan di waktu puncak sebanyak 24,000,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai langkah penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Cheras dari Kuala Lumpur ke Kajang.
Zaliha memberitahu, sepanjang Jalan Cheras-Kajang terdapat beberapa persimpangan iaitu Jalan MRR2, Jalan Cheras-Bandar Tun Razak dan Lebuhraya Timur Barat yang juga mempunyai jumlah trafik yang tinggi.
Katanya, pertembungan antara dua jalan ini akan menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan dan sesak.
“Pengurusan trafik di Jalan Cheras-Kajang melibatkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Syarikat Konsesi (Grand Saga).
“Pelbagai usaha telah dibuat untuk mengatasi kesesakan ini, antaranya tindakan jangka pendek dengan DBKL, PDRM dan syarikat konsesi telah melaksanakan laluan kontra pada waktu puncak pagi dan petang,” katanya.
Jelas beliau, bagi tindakan jangka sederhana, DBKL telah menambah baik aliran trafik di persimpangan bagi memberi laluan yang lebih berkesan dan mengurangkan ‘bottleneck’.
Bagi tindakan jangka panjang pula katanya, kerajaan telah mempertingkatkan pengangkutan awam dengan membina laluan MRT dari arah Kajang-Kuala Lumpur.
“Walaupun tindakan-tindakan ini telah dilaksanakan, pertambahan trafik terus berlaku disebabkan pertumbuhan pembangunan baru di sepanjang koridor ini dan pengguna memilih menggunakan kenderaan persendirian,” katanya. – WILAYAHKU