Berita

Pertukaran warna seragam bendung penjualan haram

PERTUKARAN warna seragam sejajar aspirasi visi serta misi PPM.
- Diterbit 29 Mac 2024 2:30 PM MYT

PERSEKUTUAN Pengakap Malaysia (PPM) mengambil keputusan untuk melakukan pertukaran warna pakaian seragam kepada warna yang lebih segar dan moden.

PPM dalam satu kenyataan berkata ini bukan sekadar perubahan luaran semata-mata, tetapi merupakan langkah penting yang sejajar dengan aspirasi visi serta misi PPM.

“Selain memberikan wajah baharu kepada pergerakan pengakap, langkah ini juga menjadi mekanisme baharu yang penting dalam usaha kita untuk mengawal dan membendung penjualan haram pakaian seragam yang semakin berleluasa.

“Ini adalah langkah proaktif yang diambil untuk memastikan imej dan integriti pergerakan ini sentiasa terpelihara dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Tambahnya, ia merupakan sebuah perkembangan yang signifikan buat pergerakan kepengakapan tanah air.

“Kami yakin bahawa penyegaran jenama ini adalah satu langkah yang efisien bagi memastikan pergerakan kepengakapan negara sentiasa relevan dan dinamik dalam menyokong pembangunan golongan muda,” katanya.

Cakna akan kebimbangan yang dihadapi ibu bapa khususnya, PPM menekankan bahawa pelaksanaan pertukaran pakaian seragam ini tidak akan membebankan ibu bapa atau ahli-ahli.

“Proses ini akan dilaksanakan secara berfasa dan pakaian seragam lama masih boleh digunakan dalam tempoh peralihan iaitu selama tiga tahun lagi.

“Tiada paksaan kepada mana-mana ahli untuk menukar pakaian seragam mereka. Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, mereka boleh memakai skarf untuk menyertai aktiviti-aktiviti,” ujarnya.

Dalam masa sama, PPM berkata penggunaan warna kelabu sebelum ini didapati menimbulkan permasalahan, terutamanya dalam mendapatkan tona yang konsisten.

“Dengan warna baharu yang dipilih, ia diharapkan dapat menyediakan penyelesaian yang lebih praktikal dengan pakaian yang lebih seragam secara keseluruhan.

“PPM berharap, menerusi perubahan ini, pergerakan kepengakapan negara dapat terus menarik lebih ramai ahli baharu sekali gus mempertingkatkan pertumbuhan keahlian,” katanya.

Terdahulu, PPM sentiasa proaktif dalam memastikan pergerakan kepengakapan negara terus bergerak selari dengan peredaran zaman. Sejak diasaskan di negara ini pada tahun 1908, pergerakan kepengakapan telah melalui pelbagai fasa evolusi dan perubahan bagi memastikan ia terus relevan dan dinamik dalam melahirkan pemimpin masa depan negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas