PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sedang melihat potensi untuk mewujudkan kembali Program Harimau Muda sebagai platform kesinambungan kepada pembangunan pemain muda negara.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perancangan untuk mewujudkan semula skuad yang akan dibarisi pemain Bawah 23 Tahun (B-23) itu akan dibincangkan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memandangkan pelaksanaannya melibatkan kos tinggi.
Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027 itu berkata pasukan berkenaan akan dihantar beraksi dalam saingan liga di luar negara sama seperti dilalui skuad Harimau Muda terdahulu sekiranya bersesuaian.
“Kami akan berbincang dengan menteri untuk wujudkan balik Harimau Muda A ataupun B di mana payroll under FAM dan mungkin nak hantar pasukan ini ke luar negara jika bersesuaian bermain di liga luar negara macam yang pernah dibuat dulu.
“Seterusnya mungkin ada sesetengah pemain dah terikat dengan kelab dan mungkin pemain yang berminat boleh dipinjamkan kerana kemudian FAM akan pulangkan balik kepada kelab tersebut tapi mereka dapat pendedahan bermain di luar negara.
“Itu antara pilihan yang FAM mahu bincang dengan menteri. Kami lihat yang pentingnya di dalam sumber kewangan dan perbincangan dengan menteri,” ujar beliau.
Hamidin berharap program itu akhirnya akan memanfaatkan pasukan senior negara dalam misi FAM memastikan skuad Harimau Malaya kekal bersaing dalam Piala Asia selepas Malaysia menamatkan kemarau 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas.
“Piala Asia 2027 di Arab Saudi memang kena layak untuk kekal berada dalam kelompok 24 pasukan terbaik di Asia,” ujarnya.
Menurut Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), idea mengembalikan Harimau Muda merupakan antara inisiatif FAM dalam satu program peringkat bawah umur yang sedang dirangka bagi menghadapi temasya sukan dan kejohanan penting akan datang.
Antara kejohanan tumpuan FAM, Sukan Olimpik 2028; Piala Dunia Bawah 17 dan Bawah 20 Tahun; Sukan Asia 2026 juga Sukan SEA 2025 dan 2027. – WILAYAHKU