PERTANDINGAN Gerbang Panjut Merdeka yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 3 (MPPSZ3), Putrajaya bukan sahaja berjaya menarik penyertaan lapan Persatuan Penduduk, malah menceriakan pengisian aktiviti komuniti di kawasan terlibat.
Acara berlangsung bersempena sambutan bulan Kemerdekaan ke-63 Malaysia itu, menyaksikan pelbagai gelagat menarik dan unik ditampil para peserta yang terdiri daripada penduduk pelbagai peringkat umur.
Selain menampilkan kreativiti tersendiri, rata-rata penduduk yang mengambil bahagian, nyata teruja dapat berganding bahu untuk menghias kawasan kejiranan dengan lampu neon berwarni-warni dan kibaran bendera meraikan sambutan kemerdekaan negara tercinta.
Naib Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Azizi Mohamad Termizi berkata, inisiatif diambil oleh MPPSZ3 Putrajaya dengan kerjasama pihak Persatuan Penduduk meraikan kemeriahan bulan kemerdekaan, perlu disemarakkan sebagai suatu manifestasi semangat cintakan negara.
Beliau ketika turun padang meninjau dan menilai pemarkahan bagi pertandingan itu mengakui, ia sebagai platform tepat bagi memupuk semangat perpaduan dan toleransi dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.
“Selain menzahirkan semangat Kemerdekaan Malaysia yang ke-63 tahun ini, acara ini adalah ruang terbaik bagi warga sekitar Putrajaya untuk berkumpul dan saling mengenali serta membina jati diri bangsa Malaysia.
“PPj melalui Kementerian Wilayah Persekutuan sendiri memperuntukkan hampir RM300,000 kepada ke semua MPPWP untuk melaksanakan program dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian tema sambutan kemerdekaan tahun ini Malaysia Prihatin,” katanya ketika ditemui pada perasmian Pertandingan Gerbang Panjut Merdeka di Padang Awam
Presint 8, Putrajaya, Sabtu lalu.
Sebanyak lapan kawasan perumahan terlibat di dalam pertandingan ini iaitu, Perumahan Jalan P10A –P10C, Presint 10; Perumahan Jalan P8A – P8B; Perumahan Fasa 4A; Perumahan Fasa 4B, Perumahan Jalan P8E; Perumahan Fasa 4C dan Perumahan Fasa 8R2, Presint 8, Putrajaya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Presint 8A-B, Mohd Salehudin Soaimin berkata, acara kali pertama disertai penduduk di kawasan kejiranan itu, sangat memberansangkan kerana semua warga memberikan kerjasama baik serta saling melengkapi antara satu sama
lain.
“Saya sendiri begitu gembira dengan sambutan semua penduduk dari pelbagai kaum yang turut menyumbang tenaga, wang ringgit dan makanan bagi merealisasikan program yang diadakan ini.
“Paling penting kita dapat menghidupkan semula semangat kejiranan, rasa cintakan negara saling bersatu hati demi untuk Malaysia tanah air yang merdeka,” katanya.