Oleh HAZIRAH HALIM
PARA penggemar fotografi dijemput menyerlahkan bakat dengan menyertai Pertandingan Fotografi Lensa Kuala Lumpur 2023 dan berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berupa wang tunai sebanyak RM15,000.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, penyertaan bagi pertandingan itu adalah secara percuma dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia bermula dari 23 Oktober hingga 19 November ini.
“Pertandingan ini terbahagi kepada dua tema iaitu Visit KL City di mana peserta dikehendaki merakam gambar keindahan ibu kota Kuala Lumpur yang ditonjolkan dengan pemandangan yang menarik serta memperlihatkan keunikan seni bina sejarah dan moden.
“Tema kedua pula adalah Festival City iaitu gambaran yang mempamerkan acara-acara yang berlangsung di Kuala Lumpur dengan menampilkan kepelbagaian untuk menunjukkan ibu kota ini sebagai sebuah bandar mesra dan berdaya huni,” jelasnya.
Menurut DBKL, setiap peserta perlu menghantar sekurang-kurangnya tiga keping gambar dan ia mestilah gambar asli yang tidak pernah digunakan bagi mana-mana penggunaan publikasi, cetakan dan penerbitan.
“Setiap peserta hendaklah memuat naik hasil karya di platform media sosial (Instagram) bersama dengan hashtag #visitkl dan #lensakl2023 beserta caption yang menarik.
“Hantarkan gambar kepada sekretariat melalui pautan atau kod QR yang disediakan iaitu di laman media sosial @visitklofficial dengan hashtag tersebut,” jelasnya.
Justeru itu, orang ramai dijemput menyertai peluang ini sekali gus memenangi hadiah wang tunai iaitu tempat pertama (RM3,000), kedua (RM1,500), ketiga (RM1,000) dan sagu hati (RM500).
Untuk makluman lanjut mengenai syarat-syarat pertadingan, boleh layari laman web DBKL di www.dbkl.gov.my atau hubungi Sekretariat Pertandingan Fotografi Lensa KL, Unit Pelancongan Kuala Lumpur di talian 03-2698 3819. – WILAYAHKU