Berita

Pertandingan dua penjuru di PRK Nenggiri, calon BN lawan PAS

- Diterbit 3 Ogos 2024 12:49 PM MYT

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Nenggiri menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon Kerajaan Perpaduan manakala PAS diwakili bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail.

Pengumuman calon itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Nenggiri, Nik Raisnan Daud di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang selepas selesai proses penamaan calon pada 10 pagi tadi.

Nik Raisnan mengumumkan pihaknya menerima pencalonan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail pukul 9.02 pagi sebelum disusuli calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pukul 9.08 pagi.

PRK Nenggiri diadakan selepas DUN Kelantan pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas dimaklumkan Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli BERSATU.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini sehingga 11.59 malam, 16 Ogos ini.

Menurut SPR, seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Nenggiri yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas