Berita

Pertambahan anjing liar resahkan penduduk

PERTAMBAHAN anjing liar menyebabkan gangguan keselamatan. - Gambar hiasan
- Diterbit 21 Jun 2024 3:30 PM MYT

ISU anjing liar yang telah berlarutan sejak beberapa tahun di sekitar Taman Perumahan Mutiara di Kampung Sungai Bedaun di sini mengundang kebimbangan kepada orang awam khususnya masyarakat setempat.

Penduduk, Zulzaimie Henry, 24, menyifatkan kewujudan haiwan itu menimbulkan perasaan tidak selesa dan menjijikan apabila najis haiwan itu di kesan di merata-merata tempat khususnya kawasan letak kereta.

“Sejak berpindah ke taman perumahan ini sekitar dua tahun lalu, agak mengejutkan kerana banyak anjing liar berkeliaran terutama pada waktu pagi dan malam malah sentiasa bertambah dari masa ke semasa.

“Di sini sahaja lebih 20 ekor anjing liar yang berkeliaran dan sering dilihat menyelongkar tempat pembuangan sampah sehingga menyebabkan kawasan tersebut bersepah dan seperti tidak diurus dengan baik,” katanya kepada Wilayahku.

Zulzaimie berkata isu tersebut telah berlarutan sejak dahulu lagi dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan berikutan jumlahnya semakin bertambah dan menyebabkan keselamatan terganggu.

Bagi pemilik kedai makan, Mustafa Mohd Adam, 38, isu anjing liar itu turut memberikan kesan kepada perniagaannya berikutan kedainya dipenuhi dengan sampah yang dibawa oleh haiwan itu khususnya setiap pagi.

“Perkara ini telah bertahun-tahun dialami, perasaan geram dan marah itu memang ada namun apa daya saya untuk menghalang perkara itu tidak berulang lagi. Selain itu, saya sudah letih dengan perkara ini dan hanya mampu membersihkan kawasan kedai sebelum memulakan perniagaan,” katanya.

Mustafa berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah anjing liar ini berikutan kehadiran haiwan tersebut menjejaskan kebersihan dan perniagaannya.

Bagi pelajar, Muhammad Alif Haziq, 13, berkata kumpulan anjing liar itu kebiasaannya berkeliaran dekat kawasan taman permainan pada waktu petang.

Lebih daripada lima ekor anjing liar akan berkeliaran di kawasan taman permainan. Kadang-kadang saya bersama adik dan kawan-kawan mahu bermain di kawasan itu terpaksa membatalkan niat kerana kami takut dikejar atau digigit,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Bedaun, Rosmani Puteh berkata pihaknya sering menerima aduan anjing liar dan telah memanjangkan rungutan penduduk kepada pihak PBT.

“Saya tidak menafikan isu ini sering disuarakan khususnya penduduk di Perumahan Mutiara, setiap aduan yang kami terima telah dilaporkan kepada PBT iaitu Perbadanan Labuan (PL) untuk tindakan selanjutnya.

“Walaubagaimanapun, penduduk perlulah memberikan kerjasama agar ia dapat diatasi dengan kadar segera demi keselamatan dan keselesaan masyarakat setempat,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas