Berita

Pertahan rakan selebriti dalam Blockout 2024… Naim Daniel dikritik netizen

- Diterbit 14 Mei 2024 6:00 AM MYT

PELAKON dan penyanyi Naim Daniel dikecam teruk  apabila dikatakan cuba mempertahankan sebahagian rakan selebriti yang tersenarai dalam Gerakan Blockout 2024 oleh netizen Malaysia.

Pelantun lagu Sumpah ini mempersoalkan tindakan netizen yang memboikot golongan selebriti Menerusi ciapan di platform X.

“Pung pang kau suruh orang boikot itu ini atas nama Islam. Tapi, kau jatuh hukum sendiri, hina orang yang taka tau belum berbuat demikian, macam kau tak belajar adab dalam agama untuk jangan melampau.

“Bocor ke tak Islam kau? Semoga kita tidak berada dalam golong terpaling… ?,” tulisnya.

Ciapan Naim itu meraih 540,000 tontonan dan mendapat 4,900 tanda suka sebelum ia dibuang oleh penyanyi tersebut kerana dihujani komen berbaur kecaman dan teguran.

“Dulu time tak ada orang pandang bakat dia, kemainlah sedih bagai. Tuhan buka pintu rezeki sikit lupa terus,” komen seorang netizen.

“Kami blocked bukan untuk main-main tapi kerana kalian semua Masih produk-produk laknatullah itu. Masih berdiam tentang saudara kalian di sana. Dah tujuh bulan berlaku, kau ada kuasa itu,” ujar seorang pengguna media sosial.

“Lebih baik diam daripada terus menyimbah minyak ke api,” ujar seorang warganet lagi.

Terdahulu, sebuah gerakan untuk menghentikan sokongan terhadap hampir 100 selebriti terkenal dunia, iaitu #Blockout 2024 dilancarkan selepas berakhirnya acara pertunjukan fesyen tahunan, Met Gala pada 6 Mei lalu.

Gerakan #Blockout 2024 menyasarkan golongan selebriti yang terus memilih untuk berdiam, selain tidak menggunakan pengaruh mereka untuk menghentikan keganasan dilakukan Israel ke atas Palestin.

Gerakan Blockout 2024 juga nampaknya turut menular di Malaysia sehingga ada segelintir netizen yang giat berkempen untuk memboikot sejumlah selebriti tempatan yang dilihat masih terus berkerjasama dengan jenama atau produk berkaitan rangkaian bisnes Israel.

Antara selebriti tempatan yang tersenarai dalam Gerakan Blockout 2024 ini adalah Meerqeen, Anna Jobling, Ruhainies, Mira Filzah, Nabila Razali, Nadhir Nasar, Eyka Farhana, Daiyan Trisha, Intan Najuwa, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Janna Nick, Awal Ashaari, Scha Al-Yahya serta Datuk Michelle Yeoh.

Turut tersenarai, pempengaruh media sosial seperti Troy Ling dan Syamimia, model Athina Kamaruddin serta beberapa usahawan produk seperti Datuk Seri Vida, Haliza Maysuri dan Cupcake Aisyah.  – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas