Artikel

Persidangan Pasca-HAWANA 2023: Platform diskusi kelangsungan industri media tempatan

PENUBUHAN Majlis Media Malaysia yang tertangguh sejak sekian lama dapat memberikan sinar untuk kelangsungan industri media sekali gus memastikan masyarakat dan kerajaan memperolehi akses terhadap media yang berkredibiliti.
- Diterbit 2 November 2023 10:10 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY

BERDEPAN dengan persaingan di dalam era langit terbuka pastinya menguji keupayaan dan relevan sesebuah agensi media dalam negara tatkala berdepan dengan tekanan serta cabaran terbesar dalam mengekalkan perniagaan.

Pada masa sama, sistem demokrasi yang menjadi tiang seri untuk pentadbiran negara serta komuniti yang terbuka memerlukan media yang kuat, berkredibiliti serta berani seiring dengan pembangunan negara.

Pasti setiap agensi media berdepan dilema untuk terus bertahan tatkala dibadai dunia tanpa sempadan serta penggunaan peranti yang akhirnya meminggirkan media konvensional seperti yang kita saksikan dekad ini.

Perencanaan untuk memperkasa masa depan wartawan dan industri media ke arah mampan perlu dilakukan dengan teliti bagi meningkatkan lagi wibawa mereka dalam masyarakat namun mereka turut terperangkap dengan masalah perniagaan yang semakin membimbangkan.

Dari satu sudut, kematangan pembaca yang hanya bergantung kepada tajuk utama tanpa membaca keseluruhan berita turut memberi kesan kepada agensi di mana kredibiliti mereka turut dipersoalkan sebagai organisasi yang bebas dan kredibiliti.

Lambakan portal berita yang menyajikan berita sensasi dan mengandungi maklumat palsu turut mengundang gelora dalam industri media yang sekali gus menyempitkan ruang untuk industri media bergerak dengan bebas.

Ekosistem media yang bertenaga

Peranan media kini diakui amat mencabar. Di sebalik penyusutan perniagaan dan penekanan keperluan terhadap media dalam arus pembangunan negara juga mestilah seiring disamping melibatkan pihak berkepentingan termasuk kerajaan.

Dalam memastikan industri media kekal bertenaga, segar dan berkredibiliti seperti amalan negara-negara maju yang menganjurkan kebebasan media, peranan pihak berkepentingan diperlukan dan ia perlu dijadikan sebagai kompas untuk membangunkan ekosistem media yang dapat memberi manfaat kepada semua.

“Pasti setiap agensi media berdepan dilema untuk terus bertahan tatkala dibadai dunia tanpa sempadan serta penggunaan peranti yang akhirnya meminggirkan media konvensional seperti yang kita saksikan dekad ini.”

Namun sudah pasti industri ini berdepan cabaran dalam mereka bentuk ekosistem industri media yang berkesan demi kemajuan masyarakat dan pada masa sama memperkasakan masa depan wartawan ke arah mampan.

ZAINUL ARIFIN

Maka ia merupakan tugas yang sukar dalam membangunkan industri media yang boleh melindungi orang ramai dan perlu dihadapi dengan kebijaksanaan serta pragmatisme.

Seiring dengan kepesatan pembangunan negara, agensi media juga perlu berkembang di celah-celah kawalan kerajaan dan kawal selia kendiri demi memastikan kumpulan ini terus relevan dalam meneruskan perkhidmatannya kepada rakyat dan negara.

Menyedari cabaran yang melingkari industri media dekad ini, National Press Club (NPC) Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan persidangan pasca Hari Wartawan Negara (HAWANA) 2023 bertajuk Malaysia Quest For A Sustainable Media Landscape.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama, Big Boom Media Sdn Bhd dan pengasas portal atas talian The Scoop, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa, cabaran utama industri media masa ini adalah apabila orang ramai tidak lagi gemar membaca disebabkan terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut.

Katanya, penggunaan peranti pintar mudah alih serta penularan sumber berita yang lebih pantas berbanding surat khabar menyebabkan peralihan daripada konvensional kepada media baharu yang amat ketara menjadikan ia tidak relevan pada ketika ini.

“Persoalannya, bagaimana untuk menjadikan diri kita relevan dan bagaimana penggubal dasar menjadikan mereka relevan dengan khalayak yang tidak lagi membaca yang menyebabkan kami perlu meneroka media baharu.

“Maka inilah cabarannya kerana kami juga cuba menjawab mengenai perniagaan dan keupayaan mengekalkan kedudukan dalam industri media.

“Cabaran terbesar bagi media ialah perniagaan demi memastikan kita mempunyai persekitaran media yang bertenaga supaya rakyat dan demokrasi dapat berkhidmat dengan baik,” katanya.

ABDUL RAHMAT

Beliau berkata demikian semasa persidangan di Pusat Kecemerlangan MCMC dekat Cyberjaya baru-baru ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching; Presiden NPC Malaysia, Datuk Ahiruddin Atan; Duta Besar Perancis, Axel Cruau dan Duta Besar Norway, Morten Paulsen.

Bagi Kolumnis/Wartawan, The Mole, dan Ahli Jawatankuasa NPC, Abdul Rahmat Omar, beliau yang berkongsi pandangan dengan Zainul Arifin menjelaskan bahawa cabaran terbesar media kini adalah perlu berkongsi kek yang sama dan ia semakin mengecil selain ramai pemain industri yang masih memenuhi lapangan.

Jelas beliau, tekanan terhadap industri ini boleh dirasai oleh syarikat dan agensi media namun pada masa sama prinsip kewartawanan mesti dikekalkan dengan melaksanakan kawalan kendiri yang boleh mengurangkan campur tangan daripada kerajaan.

Untuk mengatasi perkara ini, media perlu mencari kaedah dalam mewujudkan organisasi yang berkredibiliti di mana orang awam boleh bergantung dengan laporan dan sumber berita yang sahih.

TEO NIE CHING

Pengarah Kanan Bahagian Hal Ehwal Pengguna dan Industri (CIAD) MCMC, Eneng Faridah Iskandar berkata sebagai pihak berkepentingan, pihaknya tidak bercakap tentang kerja rangka kawal selia dan untuk membangunkan eko sistem media yang lebih berkesan, penubuhan Majlis Media Malaysia yang sedang dirancang bukanlah bersifat mengikat media dan menafikan kebebasan.

“Penubuhan Majlis Media Malaysia ini tidak perlu meletakkan sekatan jalan tambahan kepada perkara yang kritikal dari suasana yang dihadapi media pada ketika ini. Sebaliknya bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan juga MCMC, ia adalah mengenai mewujudkan ekosistem.

“Kita bercakap tentang mewujudkan hab global, pembentukan masyarakat sivil serta membangun dan memupuk bakat tempatan dalam sumber maklumat serta membincangkan tahap keyakinan pengguna yang tinggi dan semua ini tidak boleh dicapai melalui peraturan sahaja,” katanya.

Jelas beliau, perancangan penubuhan Majlis Media Malaysia adalah membangunkan strategi intervensi yang betul dalam membangunkan ekosistem media yang lebih berkesan untuk kepentingan semua pihak.

ENENG FARIDAH

Beliau berkata pengaruh media kini dipersoalkan berikutan banyak berita palsu serta akaun palsu yang memenuhi dunia maya menyebabkan keraguan terhadap industri.

“Pada bahagian saya sahaja, kita telah menerima kira-kira 65,000 aduan pada tahun ini dan ia bukan hanya media baharu. Kami turut menerima 350 aduan sehari mengenainya, 2,000 aduan mengenai akaun palsu dan terdapat lebih daripada 1,100 aduan mengenai berita palsu sahaja,” katanya.

Tambah Eneng Faridah, MCMC turut melaksanakan tinjauan terhadap trend dan sikap pengguna Internet pada tahun 2020 dan 2022 berkenaan berita palsu dan melalui kajian tersebut, orang ramai memahami perkara itu.

Sementara itu, Nie Ching berkata, Majlis Media Malaysia akan berperanan meneruskan agenda memperkasa media di negara ini termasuk diberikan lebih kebebasan dalam melaksanakan tugas, tertakluk kepada kod tatalaku yang akan diwujudkan badan itu kelak dan fokus KKD adalah untuk mencapai konsensus supaya Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia boleh dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas