PERSIDANGAN Biojisim Kelapa Sawit Antarabangsa Ke-5 2025 yang diadakan pada 14 hingga 15 April ini menghimpunkan pemimpin industri, penyelidik, penggubal dasar dan inovator dari seluruh dunia termasuk Afrika dan Asia Pasifik.
Akademi Eksport Malaysia berkata persidangan tersebut bertujuan meneroka penyelesaian yang mampan dan menguntungkan bagi mengubah biojisim kelapa sawit kepada produk bernilai tinggi.
“Bertemakan ‘Mencipta Kekayaan Potensi daripada Biojisim Kelapa Sawit’, persidangan tersebut menghimpunkan lebih daripada 25 penceramah utama dan panelis bagi menyemarakkan perbincangan dan perbahasan mengenai isu-isu utama.
“Mereka termasuk pemain industri, perunding, pemaju teknologi dan pihak pengawal selia dan peserta dari Nigeria turut mengambil bahagian dalam persidangan kali ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya persidangan kali ini menggunakan format baharu yang terdiri daripada satu siri perbincangan panel, membincangkan isu-isu berkaitan mencipta kekayaan daripada sumber yang kurang dihargai, iaitu biojisim kelapa sawit.
“Persidangan ini berfungsi sebagai platform global untuk pertukaran pengetahuan, jaringan dan kerjasama dalam bidang bioenergi, bioproduk dan strategi ekonomi circular untuk industri minyak sawit.
“Selain itu, kemajuan dalam penukaran biojisim, biorefining, teknologi dari sisa kepada kekayaan, dan amalan mampan akan dibincangkan.
“Persidangan ini meneroka prospek pelaburan, strategi komersialisasi dan perkongsian awam-swasta dalam sektor biojisim serta menyediakan peluang untuk berhubung dengan pemegang kepentingan global bagi memupuk perkongsian dan memajukan bioekonomi,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Menteri Perladangan & Komoditi, Datuk Chang Foong Hin berkata biojisim kelapa sawit membentangkan potensi besar untuk faedah ekonomi dan alam sekitar.
“Persidangan ini akan mengetengahkan laluan inovatif untuk membuka kunci nilainya, menggalakkan kemampanan serta mencipta aliran pendapatan baharu untuk industri,” katanya.
Persidangan Biojisim Kelapa Sawit Antarabangsa Ke-5 2025 diadakan di Hotel Berjaya Resort, Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga esok. – WILAYAHKU

