Selebriti

Siti Nurhaliza utamakan baju raya anak-anak

FOTO: @amir_yasin
- Diterbit 28 Mac 2025 9:00 AM MYT

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu bahawa perayaan Aidilfitri pada tahun ini lebih memberi keutamaan kepada anak-anaknya iaitu Aafiyah dan Afwa.

Menurut pelantun lagu Nazam Lebaran, persediaan kali lebih kepada anak-anak dan bagi dirinya hanya sederhana sahaja.

“Apa-apa pun anak-anak sentiasa menjadi keutamaan. Saya percaya ibu-ibu lain pun macam itu juga.

“Begitu juga dengan saya, apabila sudah ada dua anak, jadi fokus saya memang kepada mereka.

“Dari segi pakaian, saya lebih fokus kepada anak-anak saya. Baju mereka mestilah match dengan saya dan ayah mereka.

“Untuk Aafiyah, memang setiap tahun saya beli kain lebih untuk saya dan Aafiyah pakai sedondon. Selain itu, ada baju-baju raya kasual juga.

“Afwa pula akan matching dengan ayah dia. Janji warna baju yang dipakai haruslah sedondon dengan saya,” katanya.

Bagi Siti, memandangkan hari raya diraikan selama sebulan, beliau juga membeli baju raya secara dalam talian yang menjadi trend masa kini.

“Untuk saya pula, baju raya saya sebenarnya baju yang saya pernah pakai. Baju raya baharu dalam tujuh pasang. Kalau nak tahu, saya pun ada beli baju secara online.

“Semua orang ada pilihan masing-masing. Bagi saya pula, sayang baju itu dipakai sekali. Sekurang-kurangnya dua kali. Saya dulu pernah pakai tiga kali baju raya yang sama,” katanya.

Apa pun yang dilakukan, Siti mengingatkan peminat agar tidak membazir dan lebih cermat dalam perbelanjaan.

“Kalau boleh elakkan membazir. Misalnya baju-baju raya yang telah dipakai boleh digayakan dalam majlis selain hari raya seperti majlis kenduri atau perkahwinan.

“Begitu juga persediaan kuih-muih sederhana sahaja. Makanan kegemaran saya sudah tentu rendang, ketupat dan nasi himpit kuah kacang. Tak lupa juga nasi minyak, masakan udang dan lain-lain.

“Tak dinafikan, ada juga makanan lain yang kita beli sahaja. Itu juga tanda sokongan terhadap peniaga-peniaga kuih yang lain.

“Raya ke mana? Macam biasa beraya dengan keluarga di Kuala Lumpur dulu. Kemudian baru pulang beraya di Kuala Lipis,” katanya.

Apa yang istimewa tahun ini, Siti memenuhi permintaan peminat apabila muncul dengan lagu raya baharu berjudul Raya Nak Ke Mana?

Dalam pada itu, Siti menjelaskan lagu tersebut bukan bertujuan bersaing dengan penyanyi lain, sebaliknya sekadar mahu memeriahkan suasana Aidilfitri. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas