Berita

Persembahan jalanan sambut peserta Berjalan Teguh Bersama

DATUK E Sivabalan menunjukkan plan Program Berjalan Teguh Bersama diadakan bersempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 26 Julai 2022 8:07 AM MYT

PERSEMBAHAN jalanan termasuk hiburan jalanan, pancaragam dan persembahan tradisional akan menyambut peserta Berjalan Teguh Bersama di setiap check point ditetapkan di sepanjang laluan 2.7 kilometer dari Dataran Putra ke Istana Kehakiman, Sabtu ini.

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia Datuk E Sivabalan berkata terdapat lima check point utama di sepanjang laluan Dataran Putra, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Monumen Alaf Baru, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan terakhir di Istana Kehakiman.

Beliau berkata pelepasan peserta Berjalan Teguh Bersama di Dataran Putra akan diiringi kumpulan pancaragam sekolah.

Katanya, di persimpangan lampu isyarat KWP berlangsung Persembahan Gema Orang Asal oleh Kumpulan Bah Bola Suku Semai, sementara di Monumen Alaf Baru diedarkan minuman air madu kelulut serta persembahan irama Borneo secara Infiesta Infobusking oleh Kumpulan Pentarama Sabah.

”Di persimpangan hadapan Lobi Menara Tulus akan berlangsung persembahan pancaragam oleh pelajar sekolah dan di dataran hadapan Menara Tulus dan Menara Ikhlas pula ada Persembahan Infiesta Infobusking oleh Kumpulan Pentarama Sarawak dengan seleksi patriotik,” katanya kepada Bernama.

Sebaik tiba di garisan penamat di hadapan Istana Kehakiman, para peserta Berjalan Teguh Bersama disambut dengan paluan muzik Pergendangan Malaysia dari pelbagai kaum oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Program Berjalan Teguh Bersama diadakan bersempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dan dianggarkan lebih 10,000 Keluarga Malaysia akan menyertai aktiviti berjalan kaki bersama pemimpin negara.

Program berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bersama keluarga itu membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia adalah satu daripada inisiatif bagi mendokong aspirasi Keluarga Malaysia. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas