Berita

Persekutuan Pengakap Malaysia sasar sejuta anggota pada 2030

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 12 Januari 2024 1:05 PM MYT

PERSEKUTUAN Pengakap Malaysia (PPM) menyasarkan satu juta anggota pada 2030 berbanding 600,000 ketika ini, kata Pemangku Ketua Pengakap Negara, Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin.

Beliau yang juga Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia berkata sasaran satu juta keanggotaan itu tidak mustahil untuk dicapai.

“Bagaimanapun, terdapat segelintir sekolah yang mengehadkan keahlian untuk menyertai pengakap, jadi jika mereka melupuskan had tersebut kita boleh mendapat lebih ramai anggota.

“Kita akan berbincang dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Pkharuddin Ghazali dan Ahli Majlis Pengakap Negara Tan Sri Johari Abdul untuk mengubah beberapa polisi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas muncul dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Mohd Zin juga berkata PPM akan melakukan penyegaran jenama secara holistik pada tahun ini untuk memastikan unit beruniform itu kekal relevan dengan perkembangan semasa.

Menurutnya sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi merangka borang soal selidik yang akan diedarkan kepada pihak berkepentingan seperti ibu bapa, pihak sekolah dan pengakap muda bagi mendapatkan pandangan mereka.

Beliau memaklumkan selain bekerjasama dengan Pertubuhan Pergerakan Pengakap Dunia (WOSM), beberapa wakil PPM akan dihantar ke bengkel berkaitan penyegaran jenama dianjurkan oleh Asia-Pacific Scout Region di Manila, Filipina pada pertengahan tahun ini.

“Kita juga akan adakan bengkel di peringkat nasional dan dijangka mendapat manual untuk penyegaran jenama PPM yang lengkap pada September tahun ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas