Berita

Persatuan Ulama Malaysia sokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024

- Diterbit 9 Julai 2024 10:38 AM MYT

PERSATUAN Ulama Malaysia (PUM) ingin menyatakan pendirian dan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 yang akan dibahaskan di Parlimen.

Yang Di-Pertuanya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata penegasan RUU ini terhadap pentakrifan Ahlus Sunnah wal Jamaah dari aspek akidah, feqah dan tasawwuf.

Menurut Wan Mohamad, ia memberikan gambaran bahawa ia adalah suatu perkara penambahbaikan penting bagi urusan yang berkaitan umat Islam, demi memastikan perpaduan dalam kalangan umat dapat diperteguh serta dipereratkan.

“Kami mengambil maklum bahawa proses yang dilalui untuk merangka RUU ini telah mula dilakukan sejak tahun 2013 lagi.

“Ia juga telah melalui pelbagai peringkat penambahbaikan sebelum dibentangkan di parlimen untuk disokong oleh para Ahli Parlimen bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.

“Oleh yang demikian, PUM mengambil pendirian menyokong RUU ini bagi kemaslahatan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas