PERSATUAN Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA) mengagumi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh yang disifatkan peka terhadap isu rakyat.
Setiausahanya, Hanny Julia Haron berkata BUMIPEDA merakamkan penghargaan kepada kepada Fuziah di atas keprihatinan beliau terhadap isu yang sedang dihadapi oleh para pengusaha stesen minyak di seluruh negara.
“Kesudian Fuziah, untuk mendengar dan mengambil maklum pandangan kami mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan kebajikan pemegang taruh utama sentiasa terjaga.
“Dalam perbincangan bersama Fuziah, kami amat kagum dengan sifat beliau sebagai seorang pemimpin yang begitu sensitif terhadap isu rakyat tanpa mengabaikan kepentingan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Hanny berkata pendekatan Fuziah yang seimbang dan holistik menunjukkan usaha untuk memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai, sambil menjaga kestabilan ekonomi secara menyeluruh.
Katanya, langkah itu adalah bukti jelas keprihatinan dan profesionalisme beliau dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Kami juga amat berterima kasih atas kesediaan Fuziah mendengar dan memahami kepayahan yang sedang kami hadapi, khususnya dalam konteks pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar untuk RON95.
“Langkah ini membuktikan bahawa suara kami di BUMIPEDA tidak diabaikan dan dipertimbangkan dalam proses perancangan dasar yang memberi impak besar kepada operasi harian kami,” katanya.
Sementara itu, Hanny berkata BUMIPEDA berharap agar di masa hadapan, pihak kerajaan dapat mengadakan sesi libat urus yang lebih kerap dan menyeluruh dengan pihaknya.
Beliau berkata sebagai pemegang taruh utama yang berinteraksi secara langsung dengan rakyat, BUMIPEDA percaya pandangan dan maklum balas daripada pihaknya amat penting untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar seperti mekanisme subsidi bersasar.
“Bumipeda sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak KPDN dan kementerian lain demi kebaikan bersama.
“Kami percaya bahawa melalui perbincangan dan kerjasama yang erat, kita mampu mencapai penyelesaian yang menguntungkan semua pihak, terutama sekali rakyat yang memerlukan bantuan.
“Kami menaruh harapan besar agar suara pengusaha stesen minyak akan terus didengari dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar di masa hadapan,” katanya. – WILAYAHKU