PEROLEHAN menggunakan pendekatan sewaan bagi perkhidmatan 28 helikopter kepada pelbagai agensi kerajaan adalah teratur dan bersandarkan keperluan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kelebihan pendekatan itu sudah dihujahkan ketika sesi penggulungan Belanjawan 2025 (Peringkat Dasar) yang lalu.
Malah katanya, perkara itu juga dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada 28 November lalu.
“Walau bagaimanapun, perkara ini akan turut diulas dan dijawab sekali lagi oleh saya semasa sesi penggulungan kementerian bagi perbahasan kali ini yang dijadualkan pada 20 Februari ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu media melaporkan kerajaan dituntut memberi penjelasan berhubung kos pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk pasukan keselamatan negara.
Sebelum ini Mohamed Khaled menerusi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 memaklumkan, sebanyak 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun.
Katanya, pajakan helikopter itu dibuat untuk beberapa agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan 12 buah akan digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) (7); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) (2); Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) (2) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) (4). – WILAYAHKU