Berita

Permohonan tapak bazar terbatal

- Diterbit 11 November 2024 7:14 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan permohonan tapak bazar Ramadan seliaan penganjur sebelum ini terbatal.

Dalam hantaran di Facebook, DBKL berkata ia melibatkan kawasan awam di seluruh kawasan Parlimen Kuala Lumpur.

DBKL turut memaklumkan Bazar Ramadan di bawah seliaan pihaknya yang telah diiklankan pada 23 Oktober yang lalu turut dibatalkan.

“Antara tapak Bazar Ramadan yang terlibat adalah di Tempat Letak Kereta, Taman Tasik Permaisuri; Jalan 3/27A, Wangsa Maju Seksyen 1; UTC Sentul dan Jalan Telawi 1 hingga Jalan Telawi 4, Bangsar.

“Satu pelawaan baru akan disiarkan semula dengan melibatkan semua lokasi Bazar Ramadan,” katanya.

Tambah DBKL, pelawaan bagi permohonan Tapak Bazar Aidilfitri di bawah kendalian DBKL adalah sah yang ditempatkan di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan tarikh tutup permohonan kekal pada 6 November 2024.

Menurut DBKL pemakluman ini dilakukan susulan dari satu iklan pelawaan kepada orang ramai berkaitan Permohonan Tapak Bazar Ramadan/Aidilfitri yang disiarkan pada 23 Oktober 2024 di laman Facebook DBKL.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan tindakan  yang diambil susulan isu tular mengenai bazar Deepavali di Brickfields yang didakwa tidak mengikut arahan DBKL sehingga menyebabkan sebahagian peniaga tidak dapat berniaga.

Ujar Zaliha, isu berkenaan bukanlah perkara baharu bahkan ketika bazar Ramadan yang lalu turut berlaku.

“Saya telah arahkan DBKL untuk pastikan semua bazar tidak lagi diserahkan kepada pihak ketiga sebaliknya DBKL yang perlu menguruskan,” katanya.

Menurut Zaliha, banyak implikasi lain yang terjadi jika diserahkan kepada pihak ketiga untuk uruskan tersebut.

Dalam pada itu, lima persatuan peniaga yang sebelum ini bertanggungjawab menguruskan Bazar Ramadan di Kuala Lumpur menyerahkan urusan pengoperasian 65 lokasi bazar kepada pihak DBKL sebagai tindak balas kepada arahan Zaliha. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas