PERMOHONAN sebanyak 10,000 kuota tambahan jemaah haji bagi tahun ini sedang dipertimbangkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah memohon tambahan kuota tersebut daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan lebih ramai umat Islam Malaysia menunaikan haji.
“Kita masih menunggu maklum balas daripada pihak kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Terdahulu beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai jumlah kuota haji yang diterima Malaysia bagi musim haji 2025 selain tambahan kuota jemaah.
Mohd Na’im berkata, kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi untuk memberi kuota penuh sebanyak 31,600 kepada Malaysia untuk musim haji tahun 1446H/2025M.
Katanya, ia dilaksanakan melalui pemeteraian Memorandum Urusan Haji bersama pihak kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak terutamanya dalam pengurusan haji untuk musim ini.
“Memorandum ini menjadi bukti komitmen kerajaan melalui TH dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal dhuyufurrahman khusus untuk musim haji kali ini,” jelasnya.
Beliau menambah, selain itu Malaysia juga menyatakan persetujuan untuk mematuhi garis panduan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah. – WILAYAHKU