PERMOHONAN Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) dibuka bermula dari 27 Februari sehingga 26 Mac 2025 dengan menyasarkan lebih ramai pemimpin muda wanita.
Menurut Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), sebanyak RM5 juta diperuntukkan dengan menyasarkan 100 tokoh wanita yang bakal memanfaatkan lebih 5,000 peserta bimbingan.
“Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2024 sebagai usaha memartabatkan wanita di persada dunia dan memperkasakan kepimpinan wanita melalui bimbingan tokoh wanita berjaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
JPW memaklumkan PERANTIS menyediakan geran kepada wanita yang telah berjaya untuk melatih dan membimbing lebih ramai wanita terutamanya golongan muda bagi mengasah bakat kepimpinan mereka.
“Ia adalah langkah penting untuk melahirkan lebih ramai kumpulan bakat pemimpin wanita terutamanya di peringkat pembuat keputusan. PERANTIS juga dijadikan platform bagi perkongsian ilmu dan kepakaran.
“Di samping itu, melalui program ini peserta akan dapat mengukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan pemimpin wanita daripada pelbagai sektor,” katanya.
Tambahnya permohonan lengkap bersama kertas cadangan pelaksanaan program boleh dibuat secara atas talian di pautan https://iwanita.my. Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila layari www.jpw.gov.my atau menghubungi urus setia PERANTIS di talian 03-83231616/1618/1620/1596, emel: [email protected].
Untuk rekod, pelaksanaan PERANTIS pada tahun 2024 telah menarik penyertaan seramai 1,247 orang peserta dengan bimbingan 25 orang tokoh wanita. – WILAYAHKU