Berita

Permohonan geran dibuka

- Diterbit 19 Januari 2024 9:20 AM MYT

PERMOHONAN untuk Geran Masyarakat Madani Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 kini dibuka kepada semua pemohon yang berkelayakan.

Menerusi perkongsian hantaran di laman Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), geran tersebut ditawarkan kepada pemohon berkelayakan yang terdiri daripada komuniti berdaftar, sekolah dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS), badan bukan kerajaan (NGO) termasuk kemudahan masyarakat.

Menurut hantaran itu, bidang keutamaan bagi geran masyarakat Madani ini memfokuskan kepada empat aspek iaitu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, sistem tenaga mampan, pengurusan sisa mampan serta penyertaan komuniti dan gaya hidup hijau.

“Untuk mendaftar dan mendapatkan garis panduan mengenai geran ini, orang ramai boleh mengimbas Kod QR yang tertera di dalam poster atau layari https://tinyurl.com/madanirendahkarbonkl.

Tarikh akhir permohonan ini adalah pada 29 Februari (Khamis) pada pukul 5 petang.

“Bagi kriteria umum projek, ia merangkumi projek sedia ada yang dijalankan oleh pemohon dan ingin ditambah baik atau diselesaikan. Pemohon juga perlu menyertakan bukti projek sedia ada.

“Selain itu, pemohon juga hendaklah berada di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk serta selari dengan teras Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 dan Sustainable Development Goals 2030,” jelas perkongsian itu yang juga menyatakan kadar pembiayaan adalah sebanyak RM5,000 hingga RM20,000.

Sehubungan itu, DBKL mempelawa mana-mana individu atau pihak yang berkelayakan merebut peluang itu sekali gus bersama-sama menjayakan bandar raya Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar rendah karbon menjelang 2030. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas