Berita

Permohonan BUDI MADANI dibuka esok

- Diterbit 27 Mei 2024 7:39 PM MYT

PEMILIK kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil
boleh membuat permohonan BUDI MADANI yang akan dibuka mulai 28 Mei 2024 (esok).

Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI iaitu melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

MOF berkata pelaksanaan ini susulan kenyataan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

“Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu sementara petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

“Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya antara kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu adalah warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif dan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.

“Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).

“Manakala kriteria kelayakan bagi BUDI Agri-Komoditi antaranya pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

“Selain itu, pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000,” ujarnya.

Jelasnya Program BUDI MADANI melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Setakat ini, hampir 90,000 fleet card dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.

“Fleet Card membolehkan syarikat logistik yang layak untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak. Usaha ini adalah untuk memastikan kesan kos yang minimum kepada rantaian nilai logistik dan bekalan, secara langsung mengurangkan risiko kenaikan harga barangan keperluan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dengan pelaksanaan BUDI MADANI, kerajaan telah memperluas bantuan tunai kepada individu,
petani kecil dan pekebun kecil komoditi menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Seperti yang sering kali ditekankan oleh Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel
merupakan antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi
membina kemampanan kewangan Kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing.

“Ikhtiar BUDI MADANI mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan MADANI dalam
memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan
berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi,” tambah beliau.

Orang ramai boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun. Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima BUDI MADANI pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024 dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024 akan menerima BUDI
MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan. BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan sila layari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan BUDI
MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di
[email protected]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas