Berita

Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2025 kini dibuka

- Diterbit 5 Februari 2025 7:08 PM MYT

PERMOHONAN Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025 kini dibuka kepada orang ramai bermula 3 hingga 28 Februari ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya berkata, program biasiswa paling berprestij di bawah JPA itu terbuka kepada warganegara Malaysia yang cemerlang dan berwawasan tinggi.

“BYDPA terbuka kepada calon yang berpotensi besar untuk menjadi pemimpin dalam bidang akademik dan profesional, dengan keutamaan diberikan kepada individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan bukan akademik, serta mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.

“Biasiswa ini ditawarkan kepada pelajar peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (Ph.D) secara sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan atau universiti terkemuka dunia dalam bidang-bidang strategik yang memberi impak besar kepada pembangunan negara termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Ekonomi, Undang-Undang, Kewangan Islam dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence),” katanya.

Jelasnya calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui portal rasmi JPA di https://bmipenajaan.jpa.gov.my dan selepas melengkapkan borang permohonan, pemohon perlu mencetak serta menandatangani borang permohonan, melampirkan dokumen sokongan yang diperlukan dan menghantar dokumen lengkap kepada JPA sebelum atau pada 7 Mac 2025 melalui serahan tangan atau pos.

“Antara syarat-syarat permohonan adalah merupakan warganegara Malaysia; berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2025; mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang iaitu Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon Sarjana; atau Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon Ph.D.

“Seterusnya, telah mendapat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun 2025 di IPT yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian; terlibat dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya iaitu penglibatan calon secara aktif adalah satu kelebihan (Calon Sarjana), penglibatan calon adalah wajib (Calon Ph.D).

“Keutamaan akan diberikan kepada calon yang aktif dalam kegiatan ko-kurikulum/ aktiviti kemasyarakatan. Permohonan yang memenuhi syarat serta melepasi saringan lanjut pihak JPA sahaja akan disenarai pendek untuk menghadiri temu duga.

“Sebarang pertanyaan lanjut mengenai penawaran ini, sila layari portal https://bmipenajaan.jpa.gov.my atau hubungi talian 03–8885 3053/3879 pada setiap hari bekerja (9 pagi hingga 5 petang) atau e-mel kepada [email protected].

“Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menjadi sebahagian daripada penerima biasiswa paling berprestij di Malaysia. Masa depan anda bermula di sini!,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas