Berita

Permintaan ekonomi stabil, wujud keadaan baik dalam sektor perniagaan, perdagangan

- Diterbit 13 Januari 2025 1:13 PM MYT

DASAR monetari dan fiskal yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia dilihat berfungsi untuk memastikan permintaan ekonomi di dalam negara kekal stabil serta mewujudkan keadaan yang baik dalam sektor perniagaan dan perdagangan antarabangsa.

Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kedua-dua dasar tersebut telah digemblengkan dengan berkesan sekali gus menunjukkan hasil positif menerusi pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024 dan telah berada dalam sasaran kerajaan iaitu 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.

“Kadar pengangguran pula terus menurun ke paras 3.2 peratus pada November berbanding 3.3 peratus pada Januari 2024.

“Justeru pasaran buruh dilihat telah mencapai guna tenaga penuh kerana sudah ramai yang mendapat pekerjaan dan menerima pendapatan dan perkara ini telah menyumbang kepada prestasi ringgit kerana ia akan mewujudkan permintaan dalam kalangan para pelabur yang mahu melabur dalam pasaran saham dan bon,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Rabu.

Tambah beliau, tidak kurang juga para pelabur jangka panjang yang mempunyai premis dan rangkaian perniagaan serta hab pengeluaran dan ditambah pula faktor lebihan dalam imbangan dagangan serta para pelabur institusi yang membawa pulang keuntungan mereka hasil daripada pelaburan luar negera.

“Perkara ini dilihat banyak membantu dalam mengukuhkan ringgit pada 2024,” katanya.

Menurut Mohd Afzanizam, perkaitan politik dan ekonomi adalah begitu jelas kerana ia ada hubung kait yang langsung dengan penggubalan dan pelaksanaan dasar.

“Perkara ini akan sentiasa dipantau oleh pelabur asing yang melihat peluang untuk melabur di Malaysia.

“Oleh itu, amat penting bagi memastikan kestabilan politik dapat dicapai dan ia menterjemahkan pelaksanaan dasar yang bersifat reformis,” katanya.

Menurut beliau, menerusi pelaksanaan beberapa dasar baharu seperti rasionalisasi subsidi diesel, semakan tarif air dan elektrik, pengenalan cukai Low Value Goods, kenaikan kadar cukai SST dan pelbagai lagi langkah yang kurang popular yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan dan menjadikan ekonomi negara lebih berdaya saing.

“Sekiranya momentum reformasi dapat diteruskan melalui kestabilan politik, maka nilai ringgit berpotensi untuk mencapai nilai yang lebih kukuh pada masa akan datang.

“Namun faktor-faktor luaran seperti dasar ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan konflik dan peperangan juga boleh mengakibatkan turun naik ringgit yang ketara.

“Dan faktor ini di luar kawalan dan sifatnya adalah sementara. Sehubungan itu, amat penting bagi memastikan kestabilan politik dapat dicapai supaya ekonomi negara lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata, berbanding dengan negara jiran yang mencatatkan kemerosotan ketara dalam mata wang mereka, Malaysia yang mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini dilihat mempunyai peluang yang baik bagi memastikan hubungan diplomatik dan ekonomi ke tahap yang lebih baik terutamanya dalam konteks dasar protectionist yang semakin menular di negara-negara barat.

“Sememangnya rantau ASEAN sentiasa mempunyai hubungan diplomatik yang baik dan rantau ekonomi yang aman. Banyak perniagaan dan industri saling berhubung kait melalui pelbagai perjanjian perdagangan antarabangsa.

“Justeru, menerusi kerjasama dengan negara-negara BRICS, ia dilihat suatu tindakan strategik bagi memastikan negara-negara di rantau ini dapat meminimumkan risiko dasar protectionist yang diamalkan di barat.

“Oleh itu, rantau ini secara kolektifnya boleh maju bersama dengan kerjasama yang erat. Terbaru, perjanjian JS-SEZ yang ditandatangani menunjukkan negara ASEAN mempunyai kelebihan untuk saling bekerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata tindakan mengeluarkan Malaysia daripada senarai pemantauan manipulasi dolar AS menunjukkan dasar ekonomi Malaysia termasuklah pengurusan mata wang dilaksanakan dengan bertanggungjawab dan bersifat harmoni serta sejagat.

“Kebertanggungjawaban dasar ini seharusnya menjadikan negara ini mempunyai kredibiliti yang tinggi dan berpotensi untuk menjalinkan hubungan yang baik di serata dunia.

“Oleh itu, Malaysia berupaya memainkan peranan pengimbangan di kala kuasa-kuasa besar dunia dilihat mempunyai hubungan diplomatik yang agak dingin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas