Berita

Perluas program 1C1R

SEBAHAGIAN sampah yang hanyut di perairan Labuan merosakkan serta menjejaskan pemandangan perkampungan atas air dan bandar Labuan.
- Diterbit 24 Mac 2025 12:13 PM MYT
JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) merancang meluaskan lagi program inisiatif 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) ke Labuan bagi mengatasi isu pencemaran sampah di Kampung Patau-Patau Satu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif itu antara lain bertujuan menggalakkan penduduk menjual barangan kitar semula dan mendapat wang hasil jualan itu.

Katanya pelaksanaan inisiatif itu diyakini mampu mengatasi isu sampah di kampung berkenaan dan kawasan sekitarnya.

“Saya kira Kampung Patau-Patau Satu berpotensi untuk menjadi satu produk pelancongan kerana ia merupakan salah satu kampung air di sini dan saya telah mengarahkan kepada Ketua Kampung Patau-Patau Satu untuk memikirkan mengenai produk-produk lain yang boleh menarik pelancong.

“Di Kampung Patau-Patau Satu ini saya melihat ada satu isu permasalahan mengenai pencemaran sampah sarap yang telah hanyut dibawa ke kampung ini. Untuk mengatasi masalah ini, kita akan memperkenalkan program 1C1R bagi mengatasi isu tersebut,” katanya.

Zaliha berkata bagi pelaksanaan program inisiatif tersebut, pihaknya akan mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk turun padang ke Kampung Patau-Patau Satu membantu dalam pelaksanaan program berkenaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pengoperasian semula perkhidmatan feri ekspres antara Labuan dan Kota Kinabalu, beliau memaklumkan perkara tersebut telah mencapai kesepakatan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Seperti sedia maklum, baru-baru ini saya telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mana pada pertemuan ini beliau telah memberikan respons yang positif mengenai connectivity antara Sabah dan Labuan,” katanya.

Jelas beliau Kerajaan Negeri Sabah telah memulakan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan jeti dan terminal di Kota Kinabalu dan di pihak JWP turut sedang berusaha dengan pengusaha feri untuk memastikan perkhidmatan ini dapat beroperasi dengan lancar kelak.

“Insya-Allah kita berharap sebelum penganjuran Borneo Flora Festival perkhidmatan feri ekspres antara Labuan dan Kota Kinabalu akan dapat beroperasi semula,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas