KONSEP Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan untuk memperkukuh keadilan sosial dan memacu kesejahteraan rakyat.
Untuk itu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata usaha tersebut memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan pihak media.
Malah menurut beliau melalui kerjasama yang kukuh, mesej-mesej penting dapat disampaikan dengan berkesan, lantas memastikan rakyat memahami hala tuju yang dirancang demi kebaikan bersama.
“Satu lagi aspek penting adalah peranan media dalam situasi kecemasan dan krisis. Kita semua sedar bahawa dalam saat genting, media menjadi sumber utama rakyat mendapatkan maklumat.
“Contohnya semasa banjir baru-baru ini di Pantai Timur dan beberapa kawasan lain di negara kita, laporan berita yang tepat dan pantas telah membantu rakyat untuk bersedia, memahami prosedur operasi standard (SOP) dan mendapatkan maklumat tentang amaran awal situasi gelombang banjir serta persiapan kesiapsiagaan yang dapat dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media yang diadakan di dalam Cruise Tasik Putrajaya baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Dr Abdul Basir V Kunhimohamed; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya, Siti Fadilah Ramli dan Pengurus Besar Menara Kuala Lumpur, Arman Ramli.
Azman berkata, petugas media yang berada di lapangan ketika situasi-situasi itu melalui keadaan yang mencabar dan sering kali menjadi ‘unsung hero’ atau wira yang tidak didendang.
Katanya, tanggungjawab yang dipegang oleh media dalam konteks ini adalah besar dan kerajaan sentiasa menghargai sumbangan tersebut.
“Walaupun begitu kita tidak boleh mengabaikan cabaran besar yang dihadapi oleh media, iaitu penyebaran berita palsu. Dalam dunia digital yang berkembang pesat, berita palsu boleh tersebar dengan pantas dan ini memberi implikasi besar terhadap kestabilan sosial dan keyakinan rakyat.
“Sehubungan itu kerajaan mengajak semua pihak media untuk bersama-sama memerangi penyebaran maklumat palsu dengan memperkukuhkan literasi media dalam kalangan masyarakat. Pada masa yang sama, kami menyeru semua pengamal media untuk terus berpegang kepada prinsip etika kewartawanan.
“Hanya dengan mengekalkan integriti dan profesionalisme, kita dapat memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi media,” katanya. – WILAYAHKU