Berita

Perlu ada sikap ‘menyibuk’

- Diterbit 27 September 2024 11:58 AM MYT

MASYARAKAT perlu berganding bahu dengan pasukan keselamatan mahupun kerajaan dalam membendung kewujudan pusat-pusat atau badan amal yang didapati bercanggah dengan norma kehidupan dan agama.

Perkara itu ditegaskan pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran yang mahu semua pihak peka dan ambil tahu mengenai perkara tersebut.

Dalam kes melibatkan sebuah pertubuhan yang kini sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi agama, katanya semuanya itu dapat dibendung awal jika ada peranan kuat masyarakat.

“Kita mohon masyarakat perlu peka, ‘menyibuk’ mengenai badan-badan amal yang diwujudkan, kena pastikan mereka ini melalui proses yang sah dan mengikut undang-undang atau berdaftar dengan kerajaan.

“Ia bukan untuk menyusahkan tetapi penubuhan itu perlu selari dengan hasrat dan aspirasi serta agenda kerajaan.

“Ini supaya aspek pengawasan dapat dilaksanakan, agar pusat-pusat atau badan amal ini tak lari daripada asas penubuhannya,” katanya kepada Wilayahku.

Mohammad Shatar berkata jika perkara ini tidak dilakukan awal, ia dibimbangi akan mengundang masalah atau konflik pada masa akan datang.

“Mungkin menimbulkan risiko yang tinggi kepada negara dan mungkin boleh wujud kumpulan-kumpulan berfahaman kiri atau ekstremis dan boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

“Atau mungkin ia bercanggah dengan norma-norma masyarakat dan agama. Semuanya ini perlu kita sebagai masyarakat mainkan peranan,” katanya.

Beliau menambah semuanya itu tidak boleh diletakkan bebannya pada kerajaan atau pihak berkuasa semata-mata kerana mereka juga memiliki keanggotaan sumber manusia yang terhad.

Untuk itu katanya, masyarakat perlu berganding bahu menyalurkan maklumat-maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Dan apabila kerajaan mengambil tindakan sewajarnya, kita perlu bantu. perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas