PIHAK pengurusan Masjid Putra, Putrajaya akan mengambil tindakan susulan berdasarkan undang-undang susulan perlakuan kurang sopan pelancong China ketika melakukan lawatan di masjid itu.
Rakaman video mengenai perlakuan tersebut tular di media sosial yang membangkitkan kemarahan ramai pihak.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya mengambil perhatian sebuah video yang tular itu mengenai perlakuan pelancong berkenaan.
Menurutnya, pelancong China tersebut dilihat telah membaling jubah ke arah Pengawal Keselamatan Masjid Putra dan beberapa kon dilanggar atau disepak.
“Pihak pengurusan masjid telah melakukan siasatan terhadap kes tersebut dan tindakan susulan akan diambil berdasarkan lunas undang-undang dan peraturan berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihak Masjid Putra sentiasa mengalu-alukan kunjungan orang ramai dan pelancong dengan mematuhi Garis Panduan Pelancongan dan Lawatan Ke Masjid Putra, Putrajaya.
Katanya, ia bagi mempromosikan mesej keindahan dan keharmonian Islam sejagat, dan di masa yang sama tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan tidak beradab yang boleh mencemar kesucian rumah Allah. – WILAYAHKU