GISB Travel & Tours Sdn Bhd antara 81 perusahaan yang dicadang untuk dikenakan penalti kewangan kerana dipercayai terlibat dengan perjanjian penetapan harga bagi penyediaan perkhidmatan perjalanan umrah di Malaysia bermula pada 2023.
PENGERUSI Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata, pihaknya telah mengeluarkan keputusan cadangan itu terhadap kesemua perusahaan terbabit.
Menurut beliau, perlakuan kartel mereka boleh dianggap sebagai pelanggaran di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
“Melalui penyiasatan pada peringkat keputusan cadangan ini, MyCC mendapati kesemua perusahaan ini yang merupakan ahli persatuan yang berdaftar di Malaysia, telah bersetuju untuk menetapkan harga lantai bagi kedua-dua perkhidmatan pakej umrah ekonomi dan premium dalam beberapa mesyuarat mereka pada awal 2023.
“MyCC juga mendapati persatuan terbabit membuat pengumuman kepada pihak media untuk memaklumkan kepada orang awam tentang harga lantai yang telah dipersetujui oleh mereka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Hishamudin berkata, penting untuk ditekankan bahawa keputusan cadangan yang dikeluarkan MyCC adalah dapatan awal.
“Maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang dinyatakan telah melanggar Akta 712 pada peringkat ini.
“Seperti yang diperuntukkan dalam akta, kesemua perusahaan yang dinamakan dalam
keputusan cadangan ini telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan MyCC,” katanya.
Beliau menambah, perusahaan-perusahaan ini diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan.
Selepas itu katanya, perusahaan-perusahaan yang sama juga diberi peluang untuk membentangkan representasi lisan masing-masing kepada suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi oleh perusahaan-perusahaan ini bersama bukti yang diperoleh semasa proses penyiasatan,” katanya. – WILAYAHKU