Berita

Perkukuh program GLOW

- Diterbit 18 Oktober 2024 12:27 PM MYT

KERAJAAN perlu memperkukuh inisiatif sedia ada yang telah diwujudkan di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) iaitu Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) bagi mengembangkan sektor ekonomi gig.

Penganalisis Ekonomi, Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan juga cuma perlu menambah baik Akta Kerja 1955 untuk memastikan kebajikan pekerja sektor itu terpelihara.

“Pendapat saya mungkin tak perlu wujudkan suruhanjaya dan akta berkaitan.

“Bagi saya lebih kepada memperkukuh program kerajaan sedia ada dan menambah baik akta yang memastikan kebajikan pekerja,” katanya kepada Wilayahku.

GLOW dilaksanakan MDEC sejak 2016 bertujuan mengasah kemahiran dan pengetahuan rakyat terutama kepada yang diberhentikan kerja, dipotong gaji dan graduan yang menganggur.

Mereka dilatih sehingga berjaya menjadi pekerja bebas digital di platform tempatan dan antarabangsa.

Menerusi program GLOW, MDEC telah membantu seramai 105,390 peserta dan menjana pendapatan sehingga RM282.76 juta sehingga akhir tahun lepas.

Beliau berkata walaupun sektor gig kelihatan bersifat sementara terutamanya untuk p-hailing dan e-hailing, ada banyak lagi peluang di bawah sektor itu yang perlu diperkasakan.

“Ia seperti menawarkan perkhidmatan pengaturcaraan, reka bentuk, karya kreatif, perundingan dan pelbagai lagi bentuk perkhidmatan dalam talian dan pasarannya adalah global,” katanya.

Katanya, ia adalah lebih mampan dan mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada pekerja tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas