Berita

Perkukuh kerjasama, atasi ancaman rentas sempadan

TIMBALAN Ketua Pengarah Logistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim
- Diterbit 10 April 2025 6:50 PM MYT

MALAYSIA dan Filipina mencapai kata sepakat dalam memperkukuhkan lagi diplomasi maritim di antara kedua-dua negara.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Logistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, perkara itu dicapai dalam satu sesi pertemuan khas bersama rakan sejawatnya Laksamana Muda Hostillo Arturo E. Cornelio dari Pasukan Pengawal Pantai Filipina (PCG).

“Kerjasama serantau yang mantap adalah kunci untuk menangani pelbagai cabaran maritim, terutamanya isu pemerdagangan manusia, penyeludupan dan ancaman keselamatan bukan konvensional.

“Pertemuan ini adalah bagi membincangkan langkah-langkah mempertingkatkan keselamatan perairan dan menangani ancaman rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful Lizan berkata pertemuan itu turut membincangkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang maritim, pembangunan modal insan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan maritim, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Laut Sulu dan Laut Celebes.

Pertemuan tersebut berlangsung sempena lawatan ulung ulung kapal peronda luar pesisir BRP Gabriela Silang (OPV-8301) milik PCG ke Malaysia dari 8 April lepas hingga hari ini.

TIMBALAN Ketua Pengarah Logistik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim

Beliau berkata, selain pertemuan tersebut, delegasi PCG turut mengadakan Table Top Exercise (TTX) di atas kapal BRP Gabriela Silang yang melibatkan Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya dan MRCC Filipina.

“Latihan tersebut bertujuan menilai keupayaan respons dan memperkukuhkan jaringan komunikasi serta prosedur operasi maritim di antara kedua-dua buah negara.

“Selain itu, turut menyaksikan delegasi PCG mengadakan lawatan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) dan telah diberikan taklimat mengenai operasi, aset serta demonstrasi penyelamatan oleh perenang penyelamat.

Terdahulu Kapal BRP Gabriela Silang disambut ketibaannya pada 8 April lepas dengan iringan muzik patriotik oleh pasukan pancaragam Maritim Malaysia di Port Klang Cruise Terminal (PKCT).

Sambutan itu menandakan permulaan lawatan yang penting dalam memperkukuhkan sinergi maritim antara Malaysia dan Filipina. Ia juga bukti komitmen kedua-dua negara dalam menjaga keselamatan perairan serantau dan memastikan kelestarian sumber laut serta menjamin keamanan bagi generasi akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas