Berita

Perkhidmatan teksi air, mod pengangkutan efisien

TEKSI air akan membawa penumpang ke destinasi-destinasi menarik sekitar Putrajaya. Foto: FARIS AZMI/PPj
- Diterbit 16 Ogos 2024 3:50 PM MYT

TASIK Putrajaya merupakan tasik buatan terbesar di Asia dengan keluasan 650 hektar adalah salah satu tarikan utama di pusat pentadbiran tersebut. Ia berperanan sebagai penyederhana iklim bagi bandar ini serta menawarkan tempat rekreasi buat para pengunjung dari dalam dan luar negara.

Justeru bagi memanfaatkan lokasi tersebut serta menonjolkan keunikan Tasik Putrajaya, bersempena Floria Diraja Putrajaya yang bakal diadakan pada 22 Ogos hingga 1 September 2024 dan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) menyediakan perkhidmatan teksi air di Tasik Putrajaya sebagai salah satu alternatif untuk menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, Tasik Putrajaya sentiasa menjadi lokasi pilihan komuniti dari dalam dan luar Putrajaya. Bagi memastikan kelancaran dan memudahkan pergerakan orang awam ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu, pihaknya akan menyediakan pengangkutan awam yang efisien buat para pengunjung.

“Berdasarkan cerapan penggunaan perkhidmatan Cruise Tasik Putrajaya, secara purata jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini bagi tujuan bersiar-siar di sekitar Tasik Putrajaya berjumlah tidak kurang daripada 120,000 penumpang pada setiap tahun.

“Menerusi sambutan yang menggalakkan, perkhidmatan sebegini wajar diperluaskan lagi kepada alternatif pengangkutan air untuk memberi pilihan kepada penduduk Putrajaya bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan menggunakan perkhidmatan teksi air.

“Tambahan pula pada bulan Jun 2022, Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah merasmikan Pantai Floria iaitu pantai buatan (sandy beach) yang juga disokong oleh beberapa aktiviti baru di tasik seperti berkayak, bot kawalan jauh dan berenang di lokasi Anjung Floria, Presint 4.

“Sejak itu, Pengurusan PPj melihat keperluan terhadap mewujudkan perkhidmatan teksi air amat penting. Di samping sebagai pengangkutan awam, teksi air juga berperanan dalam membantu melonjakkan sektor pelancongan di Putrajaya dari sisi pandang keindahan dan fungsi Tasik Putrajaya dalam memberi perkhidmatan ekosistem bandar,” ujarnya.

Beliau berkata pada masa kini, PPj mempunyai enam unit teksi air yang sedang beroperasi di Tasik Putrajaya.

“Sejak kebelakangan ini perkhidmatan teksi air mula menjadi salah satu alternatif pengangkutan awam di sini. Sambutan yang diterima juga sangat menggalakkan sama ada oleh warga Putrajaya ataupun pengunjung dari luar.

“Antara lokasi jeti yang menjadi perhentian adalah Jeti Taman Botani, Jeti Kelab Tasik, Jeti Monumen, Jeti Floria dan Jeti Putra. Selain sebagai mod pengangkutan, teksi air juga menjadi pilihan pengunjung untuk bersiar-siar (joy ride) menyusuri keunikan dan keindahan Tasik Putrajaya bersama keluarga.

“Penggunaan perkhidmatan teksi air ini akan diperluaskan lagi pada masa akan datang untuk menyokong perlaksanaan acara dan aktiviti anjuran oleh PPj seperti Hari Rekreasi Putrajaya, Pesta Air Komuniti Putrajaya dan Festival LAMPU sebelum tahun 2024 melabuhkan tirai,” ujar beliau.

Untuk rekod, Tasik Putrajaya juga telah menjadi lokasi utama bagi pertandingan sukan air sama ada peringkat kebangsaan mahupun yang bertaraf antarabangsa seperti Water Ski World Championship, Asian Canoe Championship, Putrajaya Boat Race, Formula 1 Power Boat Competition dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas