Berita

Perketat pemantauan harga barang bazar Ramadan

- Diterbit 13 Februari 2025 2:22 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengarahkan pemantauan gerai diperketatkan sepanjang Ramadan ini bagi memastikan kawalan harga yang lebih efektif.

Perkara itu antara yang ditekankan ketika mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi (MKKA) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) buat kali pertama tahun ini.

Ia merujuk kepada gerai-gerai bazar Ramadan di ibu negara yang bermula tahun ini diuruskan sepenuhnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutama berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar.

Menurut Zaliha, pihaknya menekankan kepentingan memastikan pelaksanaan bazar Ramadan dan Aidilfitri berjalan dengan lancar.

“Saya turut mendengar suara rakyat yang mahukan harga jualan di bazar lebih berpatutan, sejajar dengan pengurangan kos tapak.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan pemantauan gerai diperketatkan sepanjang Ramadan ini dan kerjasama erat akan dilaksanakan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan kawalan harga yang lebih efektif,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menambah, untuk itu pihak DBKL telah memberikan komitmen tersebut dalam aspek pemantauan gerai berkenaan.

Dalam pada itu katanya, MKKA turut mendengar cadangan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) mengenai pembangunan dan penjenamaan semula Medan Selera Singgang MADANI @ Damai, Titiwangsa sebagai hab belia Wilayah Persekutuan.

“Sebelum ini, saya telah menyentuh perkara ini dalam beberapa program dan sidang akhbar, dan hari ini MBWP membentangkan cadangan komprehensif untuk merealisasikannya.

“Secara prinsipnya, mesyuarat bersetuju dengan cadangan tersebut, namun perbincangan lanjut dengan DBKL diperlukan bagi menyelesaikan beberapa isu teknikal sebelum pelaksanaannya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas