PEMECATAN enam Ahli Parlimen yang merupakan bekas ahli BERSATU mencetuskan suasana huru-hara dalam arena politik negara.
Enam Ahli Parlimen yang terkait dengan isu itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan adalah lebih baik jika Akta Anti Lompat Parti diperketatkan lagi.
“Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang memperuntukkan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti disifatkan masih banyak kelompangan yang boleh ditambah baik lagi.
“Undang-undang Anti Lompat Parti yang terdapat buat masa ini dilihat mempunyai kelompongan yang membolehkan ahli-ahli politik untuk ambil jalan keluar dan tidak mampu mendisiplinkan ahli parti sepenuhnya. Ia perlu digubal atau dipinda untuk mengatasi isu tersebut.
“Sebagai contoh, seorang Ahli Dewan Rakyat boleh secara bebas bertindak menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang juga presiden partinya sendiri selagi dia tidak melepaskan keahlian atau keluar partinya.
“Malah, ahli politik berkenaan juga boleh menyokong pemimpin parti lain sebagai calon Perdana Menteri tanpa perlu risau dengan kedudukannya dalam Parlimen,” katanya.
Tambahnya, perkara ini perlu dilakukan segera bagi mengelak ketidakstabilan arena politik negara.
“Semua Ahli Parlimen perlu berjiwa besar, perlu duduk dan lihat semua perkara ini dan usul penambahbaikan atau pindaan akta ini untuk dibawa ke Parlimen,” ujarnya.
Mohammad Tawfik mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa atau suruhanjaya khas bagi menangani masalah ini.
“Melalui jawatankuasa atau suruhanjaya khas ini dapat memfokuskan atau melihat secara lebih terperinci akta tersebut untuk menambah baik sebarang kelemahan yang terdapat di dalamnya,” tegasnya.
Beliau turut mengharapkan agar ahli-ahli politik belajar daripada peristiwa-perisitwa lepas akibat ketidakstabilan politik yang mengganggu pembangunan negara.
“Kita tidak mahu masalah ini berulang lagi, kalau kita lihat beberapa tahun lepas, ketidakstabilan politik ini amat merugikan negara.
“Akibat daripada itu, negara mengalami kemuruduman ekonomi, kos sara hidup meningkat, masalah sosial meingkat, kita tidak mahu perkara ini berulang.
“Kestabilan politk mampu memacu negara ke arah masa depan lebih gemilang, malah pemimpin negara juga mampu terus fokus memimpin dan memberi kejayaan kepada negara yang dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat,” jelasnya.
Sementara itu, media melaporkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mendapati arahan-arahan di bawah Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata Perlembagaan BERSATU menafikan hak lima Ahli Parlimen bekas ahli parti itu sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang menjamin hak keistimewaan, kebebasan bercakap, berbahas dan mengundi kepada lima Ahli Parlimen berkenaan.
Perkara itu terkandung dalam surat Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Ketua Whip BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee pada 9 Julai lepas, bagi memberitahu mengenai keputusan terhadap notis pemakluman kekosongan kerusi lima Ahli Parlimen menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berikutan keahlian mereka dalam parti itu telah terhenti.
“Berkenaan dengan surat permohonan oleh BERSATU kepada kelima-lima Ahli Dewan Rakyat kembali ke kerusi pembangkang di Dewan Rakyat, saya mendapati sehingga hari ini mereka masih duduk di blok Pembangkang. Justeru itu, saya mendapati dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam mempertimbangkan notis Ronald itu, Johari berkata beliau telah merujuk beberapa dokumen berkaitan seperti Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti D.R 7 Tahun 2022 (Penyata JKPK).
“Ini termasuk Penyata rasmi bertarikh 11 April 2022 mengenai Rang Undang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Penyata rasmi bertarikh 27 dan 28 Julai 2022 mengenai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Usul Mengenai Penyata JKPK itu,” jelasnya. – WILAYAHKU