Berita

Perkenal sistem QR permudahkan Perusahan Mikro, Kecil & Sederhana

- Diterbit 22 April 2025 3:30 PM MYT

DEMI menyokong aspirasi negara ke arah pendigitalan sektor kewangan dan perniagaan tempatan, syarikat pembiayaan alternatif, Plantworth memperkenalkan sistem kod QR untuk pengesahan serta-merta bagi mempermudah dan mempercepatkan urusan pelanggan.

Sistem kod QR yang baru dilaksanakan itu memudahkan pengesahan serta-merta dokumen rasmi pelanggan sekali gus menjimatkan masa, namun dalam masa sama mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi.

Inisiatif ini disebabkan peningkatan permintaan terhadap Surat Sokongan Kewangan daripada Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) bagi meningkatkan keyakinan pengeluar kontrak.

Selain daripada Surat Sokongan Kewangan, Surat Tawaran Indikatif dan Surat Tawaran Pembiayaan turut dilengkapi dengan kod QR bagi membolehkan pengeluar kontrak mengesahkan kesahihan dokumen serta-merta melalui portal pengesahan digital hanya dengan satu imbasan menggunakan peranti mudah alih.

“Sebagai peneraju industri dan perintis dalam membentuk ekosistem pembiayaan yang lebih kukuh dan telus di Malaysia, kami sentiasa mencari cara baharu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih bernilai, selamat, dan dipercayai demi kepentingan PMKS, dalam usaha mempercepatkan perkembangan perniagaan mereka.

“Penggunaan kod QR ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk meningkatkan keselamatan serta membina kepercayaan jangka panjang bersama pelanggan dan pengeluar kontrak” kata Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Andy Kuek.

Penggunaan kod QR untuk pengesahan dokumen telah diamalkan di peringkat antarabangsa oleh syarikat multinasional dan agensi kerajaan seperti di Singapura, Eropah, dan Amerika Syarikat.

Dengan mengadaptasi teknologi ini, mereka membuktikan bahawa syarikat tempatan juga mampu menyaingi serta mengintegrasikan amalan terbaik dunia ke dalam operasi harian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas