Berita

Perkenal pengkelasan T15 tingkat kecekapan agih subsidi

GOLONGAN T15 sering kali terdiri daripada individu atau keluarga dengan pendidikan tinggi, pekerjaan profesional atau pemilik perniagaan berjaya. - Gambar hiasan
- Diterbit 4 November 2024 12:17 PM MYT

LANGKAH memperkenalkan kategori baharu pengkelasan pendapatan rakyat dikenali T15 mencerminkan usaha kerajaan untuk merapatkan jurang kesenjangan ekonomi dan meningkatkan kecekapan pengagihan subsidi.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Taha Mohd Omar berkata ia juga sebagai usaha mengimbangi antara keperluan rakyat dan kemampuan kewangan negara selain menstrukturkan subsidi dengan lebih bersasar.

“Namun, apakah sebenarnya kategori T15 ini dan mengapa ia relevan dalam landskap sosioekonomi Malaysia hari ini?

“Kriteria untuk T15 ditentukan berasaskan ciri-ciri ekonomi yang berbeza berbanding B40 dan M40, di mana T15 mewakili 15 peratus kumpulan pendapatan tertinggi dalam masyarakat. Statistik menunjukkan bahawa golongan ini, yang pada amnya berada di tahap tertinggi dari segi pendapatan, adalah penyumbang terbesar kepada hasil negara.

“Pada 2022, golongan mahakaya ini menyumbang hampir 70 peratus daripada keseluruhan cukai pendapatan negara. Justeru, penyasaran subsidi berdasarkan klasifikasi T15 adalah bertujuan untuk mengurangkan beban subsidi terhadap golongan yang lebih memerlukan seperti B40, sekali gus memastikan kecekapan pengagihan kewangan negara,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau menambah, tindakan kerajaan mengecualikan golongan T15 daripada subsidi bertujuan mengurangkan bebanan kewangan negara yang mana pada 2021, Malaysia membelanjakan hampir RM30 bilion untuk subsidi bahan api sahaja.

Katanya, kesan pandemik dan krisis harga minyak global menyebabkan perbelanjaan subsidi melonjak pada 2022 kepada lebih RM50 bilion.

Menurut beliau, dengan mengambil kira perbelanjaan ini, pengurusan subsidi dengan lebih bersasar dianggap perlu dan pengkelasan baharu T15 adalah salah satu langkah ke arah itu.

“Persoalan utama sekarang ini siapa itu golongan T15? Kriteria bagi pengklasifikasian T15 bukan sahaja merangkumi pendapatan tetapi juga aset, harta dan sumbangan kepada ekonomi negara. Umumnya, golongan ini memiliki pendapatan tahunan yang melebihi RM200,000 atau aset bernilai tinggi yang tidak termasuk dalam kategori perbelanjaan asas.

“Dalam sektor kerajaan, mereka mungkin terdiri daripada pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah dan pegawai peringkat JUSA. Ini mencakupi jawatan strategik yang memainkan peranan besar dalam ekonomi negara dan berkemampuan untuk menyokong diri tanpa memerlukan subsidi asas.

“Bagi menjustifikasi golongan ini, ia adalah penting untuk mengakui bahawa kekayaan mereka juga berperanan dalam memperkasa ekonomi Malaysia melalui pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Sungguhpun begitu tegasnya, jika dibandingkan dengan B40 dan M40, T15 berbeza dari segi keperluan bantuan sosial yang asas, maka subsidi ke atas barangan harian seperti petroleum dan makanan sepatutnya lebih difokuskan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, kaedah pengkelasan T15 seharusnya dilandaskan kepada data yang teliti dan menyeluruh, termasuk pendapatan bersih, nilai aset tetap dan sumbangan ekonomi.

Mengambil contoh negara maju katanya, beberapa negara menggunakan sistem klasifikasi subsidi berdasarkan pendapatan individu dan sumbangan cukai.

“Malaysia boleh mempertimbang pendekatan ini dengan meneliti jumlah cukai pendapatan yang disumbangkan oleh golongan T15, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan subsidi dalam kalangan yang tidak memerlukannya.

“Paling utama kerajaan perlu memastikan bahawa sistem klasifikasi ini bersifat fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut perkembangan ekonomi. Sebagai contoh, dalam situasi ekonomi yang mencabar, golongan yang sebelum ini berada dalam T15 mungkin memerlukan bantuan. Oleh itu, kaedah yang lebih inklusif perlu dirangka agar subsidi dapat disesuaikan tanpa mengabaikan mereka yang mengalami permasalahan kewangan,” katanya.

Beliau menambah, persoalan sekarang adakah T15 perlu dikecualikan daripada semua subsidi?

“Meskipun T15 berada pada tahap ekonomi yang stabil, pengecualian sepenuhnya daripada subsidi mungkin kurang adil kerana bukan semua subsidi bersifat ‘one-size-fits-all’.

“Sebagai contoh, subsidi pendidikan dan kesihatan sepatutnya terus dinikmati oleh semua, termasuk T15, kerana ia merupakan hak asas bagi setiap warganegara. Dalam hal ini, kerajaan boleh mempertimbang pendekatan subsidi bersasar yang hanya mengecualikan T15 daripada bantuan keperluan harian seperti petroleum atau barangan asas yang menyumbang kepada inflasi,” katanya.

Tambahnya, di beberapa negara, pendekatan ‘subsidi berperingkat’ dilaksanakan dengan menetapkan jumlah minimum serta maksimum bantuan berdasarkan tahap pendapatan dan dengan ini, golongan T15 masih menerima subsidi dalam bentuk manfaat kesihatan atau manfaat pendidikan tanpa membebankan kewangan negara.

“Dalam menghadapi isu ekonomi pada tahun hadapan, pengklasifikasian T15 merupakan satu langkah strategik untuk menyusun semula subsidi bagi memastikan ia lebih bertahan dan adil.

“Walaupun masih ada ruang penambahbaikan dalam menentukan kriteria yang tepat, objektif utama pengklasifikasian ini adalah untuk menyasar subsidi kepada mereka yang lebih memerlukan, demi mengurangkan kesenjangan ekonomi di Malaysia.

“Golongan T15, sebagai penyumbang terbesar hasil negara, pastinya berhak menikmati sokongan tertentu dalam bentuk hak asasi seperti kesihatan dan pendidikan, namun pengecualian subsidi asas yang lain adalah suatu langkah yang wajar dan boleh diterima jika dilaksanakan dengan adil dan telus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas