Berita

Perkenal pencen warga emas

Gambar hiasan
- Diterbit 11 Oktober 2024 9:20 AM MYT

MENJELANG pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan digesa memperkenal skim pencen warga emas memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030.

Berdasarkan Data Banci Penduduk dan Perumahan 2020, peratus (%) penduduk Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas meningkat daripada lapan peratus (dua juta) pada 2010 kepada 10.4% (3.4 juta) pada 2020.

Malaysia juga mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 75.6 tahun pada 2020 berbanding 63.6 tahun pada 1970.

Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata perkara itu penting kerana ramai warga emas bergantung kepada anak-anak untuk perbelanjaan harian termasuk kos perubatan.

“Ini (skim pencen warga emas) adalah untuk melindungi mereka kerana ramai bergantung kepada anak-anak.

“Malah ramai juga yang tidak mempunyai simpanan mencukupi menjelang hari tua,” katanya.

Beliau berkata perkara itu ‘diburukkan’ lagi dengan kos kesihatan yang kian meningkat untuk perubatan warga emas.

Baru-baru ini bersempena Hari Warga Emas Sedunia, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri menggesa kerajaan melaksanakan skim tersebut.

Ia khusus bagi mereka yang berusia 65 tahun ke atas yang tiada pencen kerajaan atau tidak mempunyai simpanan persaraan melebihi RM1 juta.

Madeline menambah, di sebalik memperkenal skim berkenaan, pada waktu ini, kerajaan perlu menangani kos sara hidup yang tinggi dengan meningkatkan upah minimum kepada RM2,000.

Katanya ia selari dengan upah minimum sektor awam yang dinaikkan melebihi RM2,000 bermula tahun ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar ketika berucap sempena sambutan Hari Pekerja 2024 mengakui jumlah pendapatan menyeluruh paling minimum yang diterima penjawat awam iaitu RM1,765 adalah tidak munasabah.

Dalam pada itu, Madeline turut mencadangkan kerajaan supaya meningkatkan atau memperhebat peruntukan kepada sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) atau Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi menangani pengangguran anak muda yang kini 6.5%. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas