PERPUSTAKAAN Kuala Lumpur (PKL) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan aplikasi inovatif dunia bacaan digital terkini iaitu PKL@CEREKA kepada pembaca.
PKL dalam satu kenyataan kepada Wilayahku berkata seiring usaha untuk menerokai dan meraikan koleksi bahan bacaan tempatan, aplikasi tersebut menghimpunkan lebih daripada 800 karya menarik termasuk 250 novel, 180 cerpen dan 550 cerita pendek daripada penulis dan penerbit tempatan.
“Pembaca juga akan menemui kisah-kisah yang mengasyikkan di samping membawa mereka ke alam pengembaraan yang tidak dapat dilupakan melalui halaman-halaman cerita yang disusun indah.
“Lebih menarik, ia boleh dinikmati secara percuma dengan hanya menjadi ahli PKL dan memuat turun serta mendaftar di laman sesawang https://pkl.cereka.app untuk menerokai dunia imaginasi digital kami.
“Untuk maklumat lanjut mengenai aplikasi, orang ramai juga boleh melayari laman web rasmi PKL di perpustakaankualalumpur.dbkl.gov.my,” katanya.
Dalam pada itu, PKL turut memberitahu permohonan tempoh lanjutan pinjaman bahan bacaannya kini boleh diperbaharui menerusi platform pesanan ringkas WhatsApp.
PKL berkata sistem permohonan WhatsApp itu diperkenalkan untuk memudahkan serta menjimatkan masa dan tenaga ahli-ahli perpustakaan tanpa perlu menghadirkan diri ke perpustakaan untuk melanjutkan tempoh pinjaman.
“Kaedahnya adalah mereka hanya perlu menghantar maklumat pinjaman bahan bacaan ke talian 011- 6564 3500 atau mengimbas kod QR yang tersedia di dalam poster. Maklumat kemas kini akan dimaklumkan dalam tempoh 24 jam.
“Kelebihan penggunaan WhatsApp ini boleh memberikan maklumat kepada ahli dengan lebih cepat selain boleh menghantar permohonan pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam serta mudah dan pantas.
“Ia juga membolehkan mereka berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan perpustakaan misalnya dari segi pertanyaan atau bantuan yang diperlukan berkaitan pinjaman bahan bacaan,” katanya.
Dengan pengenalan kemudahan ini, pihak PKL yakin bahawa ia dapat menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih baik kepada semua ahli, memberi manfaat dan menjadikan proses komunikasi lebih pantas dan efisien sekali gus memuaskan tahap kepuasan pelanggan. – WILAYAHKU