Artikel

Perkasa profesionalisme kewartawanan

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil (dua kanan) turut menghadiri Malam Wartawan Malaysia 2024
- Diterbit 14 Jun 2024 10:20 AM MYT

PEMILIHAN wartawan veteran wanita, Adibah Amin sebagai penerima Tokoh Wartawan Negara 2023 pada Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 Jumaat lalu sangat tepat kerana sumbangan beliau amat besar dalam dunia bahasa dan surat khabar negara.

Adibah atau nama sebenar Khalidah Adibah Amin, 88, adalah wartawan wanita pertama diberikan pengiktirafan tertinggi dalam bidang kewartawanan tempatan. Beliau yang terkenal dalam penguasaan kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris telah menghasilkan tiga buah novel dalam bahasa Melayu dengan menggunakan nama pena Seri Delima, 200 skrip drama radio serta beberapa buah cerpen dan pernah menerima beberapa pengiktirafan besar lain antaranya Tokoh Terjemahan Negara 2012, Anugerah Penulisan SEA (SEA WriterAward) 1983, Anugerah Pengembangan Sastera Esso-Gapena 1991, Anugerah Wartawan Cemerlang Negara (Persatuan Wartawan Melayu Malaysia) 1996 dan Anugerah Tun Razak 1998.

Malam berprestij itu turut menyaksikan 118 pemenang termasuk pemenang Hadiah Kajai yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadiah utama itu dimenangi oleh Malaysiakini dan membawa pulang RM30,000. Malam itu turut meraikan pemenang emas membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil manakala pemenang perak dan gangsa masing-masing menerima RM3,000 dan RM2,000 serta sijil.

Malaysi an Press Institute (MPI) menerima lebih 488 penyertaan untuk 23 kategori yang dipertandingkan dengan beberapa kriteria telah dititikberatkan dan dinilai oleh barisan juri profesional dalam memilih pemenang lima terbaik.

Menurut hakim bagi kategori Media Cetak dan Portal, Dr G Manimaran, bilangan penyertaan adalah meningkat berbanding tahun sebelumnya sehingga membawa kepada empat pusingan penilaian.

“Karya dinilai dari sudut isu yang dibawa, kandungan, gaya penyampaian, bahasa serta impresi keseluruhan dan isu-isu yang dibawa juga pelbagai sekali gus mencerminkan perkembangan semasa yang memerlukan penghasilan yang kompresif. Tidak dapat dinafikan bahawa hampir kesemua karya yang diterima memenuhi kriteria asas serta kualitinya bertambah baik.

“Para hakim juga mendapati bahawa karya dalam bentuk multimedia juga baik di mana wartawan telah menggunakan skil dan kelebihan perisian di pasaran untuk mempelbagaikan kaedah penyampaian manakala untuk kategori ESG atau alam sekitar, sosial dan tadbir urus, penyertaan yang menang menunjukkan penulis telah berjaya mengupas isu atau topik dengan membina sekali gus memperlihatkan bahawa wartawan telah mula mengupas aspek baharu dalam dunia penulisan dengan baik,” ujarnya.

Sementara itu, juri bagi kategori Media Penyiaran TV & Video Dalam Talian, Abuyamin Salam berkata penyertaan HKM 2023 menunjukkan kebolehan tinggi kalangan wartawan dengan kandungan yang relevan untuk audiens serta kualiti produksi yang mengagumkan.

“Setiap kategori memaparkan kekuatan unik daripada segi pengolahan isu, penyampaian visual dan impak kepada audien yang menggambarkan dedikasi dan komitmen tinggi wartawan ditonjolkan dalam menghasilkan karya kewartawanan berkualiti,” ujarnya.

Manakala bagi Media Penyiaran Radio pula, kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik yang baru diperkenalkan dianggap kurang mendapat sambutan penyiar tempatan dan penyiar juga dilihat tidak memanfaatkan sepenuhnya sumber teknikal, kepakaran dan masa secukupnya untuk mencapai matlamat laporan dengan fokus yang optimum.

“Hasil penjurian menunjukkan lima penyertaan bagi kategori Laporan Radio Terbaik, Dokumentari Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik telah mencapai kemampuan yang tinggi dengan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MPI,” katanya.

Seterusnya juri kategori foto, Mahfooz NR berkata prestasi peserta pada tahun ini sangat merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana penyertaan yang diterima tidak mengutamakan effort sama ada pada angle of view atau pada keseluruhan komposisi semasa mengambil gambar.

“Gambar yang dihasilkan kebanyakannya seperti snapshot seakan-akan gambar yang dihasilkan oleh jurugambar amatur sahaja dan paling menyedihkan pada bahagian foto esei di mana ramai peserta yang belum mahir untuk menyusun gamabr mengikut turutan.

“Para juri memutuskan bahawa kekuatan lima penyertaan terbaik mempunyai elemen seperti penggunaan komposisi yang agak seimbang, tahu menggunakan shutter-speed untuk mendapat effect yang hendak dicapai, pandai memilih aperture untuk mendapat impak serta mesej yang hendak disampaikan, menumpukan perhatian pada apa yang patut ada dan apa yang tidak perlu ada di dalam gambar serta cuba mendapatkan jalan cerita yang hendak disampaikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zolkufli Hamzah berkata untuk kategori Infografik, pilihan topik adalah penting, menarik serta eksklusif untuk tatapan pembaca dan juri memberi tumpuan kepada beberapa perkara iaitu faktor ‘wow’, peka dengan topik, penulisan juga ketelitian.

“Juri berpendapat dalam menghasilkan infografik yang baik, penghayatan bukan saja dengan minda tetapi menerapkan roh kreativiti.

“Selain itu, artis grafik perlu mempunyai inovasi yang tinggi, idea asli, melakukan penyelidikan dengan teliti bagi memastikan fakta-fakta yang dikemukakan adalah betul,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas