DALAM usaha memperkasa kreativiti generasi muda, Balai Seni Negara (BSN) menganjurkan dua buah program bertempat di GMBB, Kuala Lumpur bermula 14 Disember lalu.
Balai Seni Negara dalam kenyataannya memaklumkan program tersebut adalah Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa dan Program Young Art Entrepreneurs (YAE!).
“Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa adalah inisiatif BSN yang bertujuan mengangkat seni sebagai medium untuk memelihara dan menghayati warisan sastera, sekaligus memperkukuh identiti budaya negara.
“Program ini tercetus daripada seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru masyarakat untuk bersama-sama menghargai naskhah sastera sebagai alat pendidikan, pembangunan jati diri dan pengukuhan nilai kemanusiaan.
“Selain itu, program ini juga bertujuan mendorong generasi muda untuk lebih terlibat dalam bidang sastera sambil menjadikan sastera sebagai wadah penyatuan pelbagai lapisan masyarakat. Usaha ini adalah langkah penting dalam memperkasa budaya dan seni tanah air agar terus relevan dan dihargai oleh semua pihak,” katanya.
Tambahnya, program ini memberi tumpuan kepada penghasilan karya seni visual yang diinspirasi daripada naskhah agung sastera seperti novel klasik juga cerpen karya sasterawan terkemuka dan bermatlamat mempromosikan bidang seni dan sastera secara serentak, serta menggalakkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam mempersembahkan interpretasi seni yang mendalam.
Sementara itu, Program YAE! kohort ke-10 menampilkan 17 peserta dengan tema ‘Generation: Artpreneur’, yang menggabungkan seni dan keusahawanan sebagai aspirasi kepada generasi muda yang kreatif dan inovatif.
“Tema ini mencerminkan pendekatan segar dalam usaha melahirkan usahawan seni yang berdaya saing.
“Sepanjang pelaksanaannya, para peserta didedahkan dengan asas keusahawanan, kaedah pengurusan projek, teknik promosi dan pemasaran, kaedah membina ‘Business Model Canvas’ yang betul, dilatih untuk membangunkan produk dan perkhidmatan mereka mengikut kesesuaian pasaran seni dengan bimbingan pakar keusahawanan serta pakar industri,” ujarnya.
Jelasnya lagi kedua-dua program ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan seni malah turut membuka peluang untuk penghayatan sastera, sekaligus menjadi platform yang signifikan dalam memperkasa kreativiti generasi muda serta menyediakan ruang untuk mereka menjana idea baharu, membina jenama yang kukuh dalam ekosistem seni dan menghasilkan karya dan produk bermutu tinggi.
Orang ramai dijemput hadir untuk menghayati keindahan seni dan sastera menerusi Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa bermula 14 Disember 2024 sehingga 31 Januari 2025 serta melawat pameran akhir YAE! – Generation: Artpreneur bermula 14 hingga 22 Disember 2024 setiap hari, bermula pukul 11 pagi hingga 8 malam. Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi BSN di www.artgallery.gov.my. – WILAYAHKU
[Iklan]