Berita

Perkasa konsep wakaf

Gambar hiasan
- Diterbit 4 November 2024 11:57 AM MYT

PAKAR Ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff memberi pandangan kerajaan perlu memperkasakan konsep wakaf supaya golongan T15 dapat menyumbang secara sukarela.

Beliau yang juga Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS) berkata aset wakaf di Malaysia dianggarkan bernilai lebih RM1.3 trilion bagaimanapun hanya 30 peratus sahaja baru digunakan.

“Kalau konsep wakaf diperkasakan bukan setakat wakaf harta benda tetapi wakaf tunai dan wakaf korporat, kemungkinan tak perlu pun kenakan cukai kepada T15. Malahan T15 akan lebih suka menderma ikut sedekah, wakaf dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan kelompok 15 peratus teratas rakyat berpendapatan tinggi atau lebih dikenali T15 kemungkinan akan dikecualikan daripada beberapa subsidi tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menafikan anggapan dan fahaman sebilangan pihak yang secara pasti mentakrifkan bahawa T15 yang akan dikecualikan daripada subsidi tahun depan adalah isi rumah berpendapatan RM12,000 ke atas seperti takrifan dipakai pada masa kini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata kerajaan sedia mempertimbangkan agar klasifikasi kelompok yang akan dikecualikan daripada beberapa subsidi itu diubah daripada T15 menjadi T10 iaitu kelompok 10 peratus teratas rakyat berpendapatan tinggi.

Mengulas lanjut, Razman berkata jika kerajaan meminta golongan T15 membayar cukai, mereka mungkin menganggap sebagai paksa dan tidak secara sukarela.

Beliau berkata berbanding jika wakaf, mungkin ada dalam kalangan mereka berpandangan ganjaran lebih besar di akhirat.

“Jadi kalau pendekatan ke arah agama iaitu lebih kepada menggalakkan bayar zakat dan wakaf, maka mereka lebih setuju ke arah itu,” katanya.

Pada 14 Mei lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata inovasi wakaf perlu diperluas dan diberi tumpuan khusus kerana potensinya yang amat besar dalam memangkin pembangunan ekonomi dan pemerkasaan ummah.

Beliau berkata seiring dengan perkembangan instrumen wakaf semasa, negara perlu bergerak lebih pantas untuk memanfaatkannya secara optimum.

Zulkifli berkata, Kerajaan Madani turut menekankan pentingnya semua agensi memberi tumpuan pemerkasaan kewangan Islam melalui pendekatan wakaf.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata nilai aset wakaf di seluruh dunia dianggarkan berjumlah AS$100 bilion (RM453.96 bilion) hingga AS$1 trilion (RM4.54 trilion).

Katanya, anggaran itu menjadikan kewangan sosial Islam sebagai sumber pembiayaan yang berpotensi untuk menangani jurang pembiayaan kemampanan yang dianggarkan lebih daripada AS$1.7 trilion (RM7.72 trilion) setiap tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas